Kerajaan perlu laksana kaedah komprehensif bendung COVID-19 - SERI

Bernama
Januari 8, 2021 18:46 MYT
Kerajaan diminta segera mengambil langkah-langkah pengawalan komprehensif di zon merah untuk mengurangi penyebaran virus COVID-19. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta segera mengambil langkah-langkah pengawalan komprehensif di zon merah untuk mengurangi penyebaran virus COVID-19 dan melindungi mereka yang berisiko tinggi berikutan negara mencatatkan penularan yang tinggi sehingga mencatatkan 3,027 kes semalam.
Ketua Pegawai Eksekutif Inisiatif Penyelidikan Sosial dan Ekonomi (SERI) Dr Helmy Haja Mydin berkata langkah itu termasuk menunda pilihan raya umum, melarang perjalanan penduduk di zon merah, melarang acara tidak penting dan mengehadkan acara dan perayaan keagamaan.
"Keutamaan sekarang adalah untuk meratakan lekukan dan mengurangkan penularan, walaupun kita sedang menunggu ketibaan vaksin.
"Acara dan perayaan keagamaan mesti dihadkan. Ini termasuk perhimpunan besar-besaran di tempat-tempat ibadat (seperti solat Jumaat dan 'Sunday mass') dan mengenakan had perjalanan semasa perayaan Tahun Baharu Cina yang akan datang.
"Prosedur operasi standard (SOP) mesti dikenakan terhadap semua pihak. Tidak ada individu yang harus dikecualikan daripada mematuhi SOP yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), " katanya dalam satu kenyataan hari ini.
BACA: COVID-19: Apa pengumuman PM Isnin ini?
BACA: COVID-19: Vaksin Pfizer diluluskan NPRA - Khairy
SERI juga menasihatkan proses mengenal pasti kes proaktif di kawasan berisiko tinggi termasuk kilang, tapak pembinaan, pusat pemindahan banjir dan penjara serta melewatkan pembukaan sekolah bagi mengurangkan kesan wabak yang berterusan.
"Walaupun SOP akan diterapkan, pasti ada kes positif dalam kalangan staf dan pelajar. Oleh itu, keadaan ini perlu dikenal pasti lebih awal dan ditangani dengan cepat mengikut keadaan sesuatu tempat," kata Dr Helmy.
Pakar perubatan itu juga mencadangkan agar pekerja asing tanpa izin diberi pengampunan agar mereka yang berpotensi dijangkiti wabak tersebut sedia tampil kepada pihak berkuasa untuk diperiksa tahap kesihatan.
"Kes jangkitan empat digit yang dicatatkan setiap hari memerlukan kaedah baharu yang perlu dilaksanakan oleh KKM untuk memutuskan rangkaian jangkitan. Ketidakpatuhan terhadap sistem penjagaan kesihatan awam akan mengakibatkan kesan ekonomi dan sosial yang negatif," katanya.
Malaysia merekodkan 3,027 kes COVID-19 semalam menjadikan kes keseluruhan berjumlah 128,465 kes, dengan 521 kematian.
-- BERNAMA
#zon merah #COVID-19 #langkah pengawalan komprehensif #Inisiatif Penyelidikan Sosial dan Ekonomi #seri #Dr Helmy Haja Mydin #SOP #prosedur operasi standard #KKM
;