Kerajaan perlu kawal akses ke negara lubuk scam - Kaji selidik

Hasimi Muhamad
November 18, 2023 07:00 MYT
Kaji selidik tersebut dijalankan oleh Pusat Penyelidikan Sosial dan Polisi Tun Tan Cheng Lock, Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR), Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Huayan Policy Institute (HPI) - Foto/AWANI
KUALA LUMPUR: Kerajaan disarankan melaksanakan langkah untuk mengawal akses ke negara-negara yang dikenal pasti sebagai lubuk scam, dalam usaha mengekang rakyat Malaysia menjadi mangsa jenayah penipuan atau scammer.
Berdasarkan kaji selidik dijalankan oleh Pusat Penyelidikan Sosial dan Polisi Tun Tan Cheng Lock, Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR), Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Huayan Policy Institute (HPI), lebih 81.2 peratus responden menyatakan persetujuan, manakala 91.9 peratus mahu kerajaan membangunkan satu mekanisme dalam memberikan amaran kepada rakyat Malaysia yang sedang melawat negara terbabit.
Selain itu, lebih 93 peratus responden berharap agar program kesedaran dan pendidikan terhadap jenayah scammer, dapat ditingkatkan.
Kaji selidik berkenaan turut mendedahkan 95 peratus bersetuju bahawa kerajaan perlu memperuntukkan lebih banyak sumber dan pembiayaan kepada agensi penguatkuasaan bagi menyiasat dan memerangi kes lubuk scam.
"Sebanyak 92 peratus responden juga bersetuju agar agensi baharu dibangunkan untuk membantu rakyat Malaysia mengesahkan ketulenan tawaran atau jemputan ke negara yang telah dikenal pasti (sebagai lubuk scam).
"Sebanyak 93 peratus bersetuju agar melindungi pemberi maklumat, dan 83 peratus pula bersetuju pemberian insentif kepada individu yang melaporkan aktiviti mencurigakan," demikian menurut kaji selidik yang disiarkan hari ini.
Dalam pada itu, sebanyak 94.45 peratus responden menggesa agar lubuk scam dibanteras dengan lebih agresif oleh agensi penguatkuasa undang-undang antarabangsa.
Manakala, sebanyak 92.3 peratus responden berpandangan kerajaan perlu melibatkan diri dalam usaha diplomatik untuk menggalakkan negara lain bekerjasama dalam memerangi lubuk scam.
"Sebanyak 94.6 peratus bersetuju agensi kerajaan perlu bekerjasama dengan rakan antarabangsa untuk menangani lubuk scam yang beroperasi secara rentas sempadan," kata kaji selidik berkenaan.
Kaji selidik menambah 30 peratus berpuas hati dengan usaha kerajaan untuk menyiasat dan menangani kejadian lubuk scam di luar Malaysia, manakala 32 peratus berpuas hati dengan kesesuaian maklum balas kerajaan.
Pada masa yang sama, beberapa tindakan segera dicadangkan antaranya, kempen pendidikan; kempen media sosial; dan advokasi untuk perubahan dasar.
Bagi tindakan jangka masa panjang pula, ia termasuk meliputi kerjasama antarabangsa; sumber kewangan; serta perlindungan kepada kumpulan terdedah seperti kanak-kanak dan pelarian.
Kaji selidik bertajuk 'Lubuk scam: Tahap kesedaran rakyat Malaysia, pengetahuan tentang langkah-langkah mengelak daripada terjebak dan persepsi terhadap tindakan kerajaan', dijalankan secara dalam talian bermula 20 Oktober hingga 27 Oktober lalu.
Seramai 991 responden terdiri daripada mereka berumur 16 hingga lebih 61 tahun terlibat dalam kaji selidik berkenaan, di mana lebih 80 peratus responden adalah kumpulan berumur 16 hingga 40 tahun.
Ia turut disokong lima agensi media iaitu Sinar Harian; The Star; Sin Chew Daily; Astro AWANI; dan Malaysia Nanban.
#lubuk scam #Jenayah scammer #Kaji Selidik lubuk scam #jenayah dalam talian
;