Kerajaan perlu jawab tohmahan bukan gantung The Edge - Chandra Muzaffar

Hakim Rahman, Tan Su Lin
Julai 24, 2015 20:26 MYT
CHANDRA: Kerajaan katanya perlu menjawab sebarang tohmahan yang dibangkitkan pihak akhbar terlibat. - Gambar Fail
Penganalisis Sains Politik, Dr Chandra Muzaffar melihat tindakan menggantung lesen penerbitan akhbar The Edge Weekly dan The Edge Financial atas laporan mereka mengenai isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak sewajarnya berlaku.
Sebaliknya, kerajaan katanya perlu menjawab sebarang tohmahan yang dibangkitkan pihak akhbar terlibat.
"Tidak perlu gantung, sekat dan sebagainya. Sekiranya pihak pemerintah berpendapat ada faktor atau hujah tertentu yang tidak tepat, mereka harus jawab.
"Mereka harus membuktikan kepada khalayak ramai apakah hujah-hujah yang tidak berasas itu dan mereka perlu menjawab melalui media dan saluran-saluran yang ada. Itu caranya," kata Dr Chandra ketika dihubungi Astro AWANI.
Tegasnya, tiada akhbar atau penerbitan yang patut diancam atas laporan yang dibuat, lebih-lebih lagi berkaitan isu kontroversi itu yang masih dalam siasatan.
"Sekiranya dalam proses siasatan ini, dalam suasana 1MDB itu masih disiasat dan tindakan telahpun diambil dalam kes-kes tertentu, tindakan kerajaan menggantung media memberi gambaran kepada khalayak ramai bahawa kerajaan cuba menutup pihak-pihak tertentu," ujar beliau.
Dalam pada itu Exco Pemuda UMNO yang juga Pengerusi Biro Profesional Muda, Shahril Hamdan menyuarakan kebimbangan susulan penggantungan dua akhbar itu.
Beliau berpendapat, langkah sedemikian pada era kini dikhuatiri memberikan persepsi negatif kepada kerajaan.
"Saya khuatir akan timbul persepsi bahawa kerajaan tidak adil hanya kerana semata-mata kerana ada persoalan yang tidak selesa diajukan, kita terus gantung penerbitan tersebut," katanya.
Jelasnya lagi, kegusaran itu akan berkurangan sekiranya pihak kerajaan berkongsi bukti tersebut bersama rakyat.
"Kalau pengantungan secara tiba-tiba sedangkan rakyat semua telah membaca laporan (mengenai 1MDB)maka akan timbul tanggapan kita hanya hendak berselindung dan tidak terbuka," katanya.
KDN hari ini telah menggantung permit The Edge Weekly dan The Edge Financial Daily untuk tempoh tiga bulan berkuatkuasa dari 27 Julai ini susulan laporan yang disiarkan berkaitan 1MDB.
Menurut Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata penggantungan dikenakan kerana penerbitan artikel-artikel yang dikatakan mempunyai motif-motif tertentu.
Susulan itu, Kumpulan Media The Edge akan berusaha untuk menarik balik status penggantungan dua penerbitannya itu dengan mengunakan saluran undang-undang termasuk dengan membawa kes itu ke mahkamah.
#1Malaysia Development #1MDB #chandra muzaffar #the edge
;