Kerajaan perlu fokus selesai masalah rakyat, bukan tergesa-gesa buat PRU15
Bernama
Jun 8, 2022 10:10 MYT
Jun 8, 2022 10:10 MYT
KUALA LUMPUR: Banyak pihak berpendapat kerajaan perlu memberi fokus sepenuhnya terhadap usaha mentadbir urus negara serta menyelesaikan masalah dihadapi rakyat dan bukannya tergesa-gesa mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Penganalisis Politik Mazlan Ali berkata antara isu yang perlu diberi perhatian kerajaan termasuk kejatuhan mata wang negara dan inflasi yang memberi kesan kepada seluruh masyarakat di negara ini.
Mazlan yang juga Pensyarah Kanan Pusat Perdana Fakulti Teknologi dan Informatik Razak, Universiti Teknologi Malaysia berkata kerajaan sepatutnya menggunakan segala kesempatan kestabilan politik di bawah Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang ditandatangani dengan Pakatan Harapan (PH) untuk membuat keputusan yang memberi manfaat kepada rakyat.
"Kerajaan hari ini boleh sahaja meluluskan apa-apa Rang Undang-undang bertujuan untuk kepentingan masyarakat dan negara... jadi saya tidak nampak kenapa perlunya ada pilihan raya," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Ketua Pegawai Perhubungan Institut Kajian dan Pembangunan Polisi (IRDP) Sheikh Khuzaifah Sheik Abu Bakar pula berkata kerajaan perlu mempunyai alasan kukuh untuk mengadakan PRU15 dalam suasana negara masih berdepan pelbagai cabaran seperti kenaikan harga barang dan pengawalan penyakit berjangkit.
"Sepatutnya sekarang semua pihak (kerajaan) fokus 100 peratus kepada menyelesaikan masalah negara seperti ekonomi dan sebagainya. Kita jangan membuang masa dengan isu politik lagi sebab akhirnya sudah berapa tahun kita hilang fokus," katanya.
Sebagai contoh, beliau berkata Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada Mac lepas tidak sepatutnya diadakan kerana baginya tidak ada sebab yang kukuh untuk mengadakan pilihan raya berkenaan.
"Itulah kalau kita ambil contoh di Johor, banyak masa dan sumber (tenaga dan kos) dihabiskan untuk mengadakan PRN," katanya.
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan berkata kerajaan perlu mengkaji dan mencari masa yang sesuai untuk melaksanakan PRU15.
Beliau berkata rakyat amat mengharapkan perubahan dalam pengurusan kerajaan kerana mereka mahukan yang terbaik daripada kerajaan dalam suasana hidup norma baharu pada masa ini.
"Jadi, kerajaan perlu mencari suasana dan keadaan yang terbaik supaya sokongan (terhadap) kerajaan (pada PRU15) itu adalah jelas," katanya.
Sementara itu, beberapa orang awam yang ditemui turut tidak bersetuju PRU15 diadakan pada masa ini dalam situasi rakyat masih dibebani pelbagai kesukaran hidup.
Seorang pegawai sumber manusia di sebuah syarikat minyak dan gas yang hanya ingin dikenali sebagai Ahmad, 25, berkata kerajaan tidak perlu tergesa-gesa melaksanakan PRU15 kerana ia memerlukan kos yang tinggi seperti berlaku pada PRN Sabah, Melaka, Sarawak dan terbaru Johor.
Senada dengan Ahmad, pengurus eksekutif sebuah syarikat swasta, Zulkarlnain Haqiem Aziz, 32, berkata perbelanjaan besar yang dikeluarkan kerajaan untuk melaksanakan PRU15 adalah lebih baik digunakan bagi membantu rakyat.
"Kerajaan atau pembangkang perlu tonjolkan diri sebelum menghadapi PRU15, selesaikan masalah rakyat, buat portfolio yang bagus dulu dan jaga kebajikan rakyat," katanya.
Sebelum ini, media tempatan melaporkan kos bagi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengadakan PRN Sabah, Sarawak, Melaka dan Johor adalah sebanyak RM420 juta.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata perbelanjaan SPR bagi pelaksanaan PRN Sabah adalah RM130 juta, Melaka (RM45 juta), Sarawak (RM149 juta) dan Johor (RM96 juta).
-- BERNAMA