Kerajaan perlu cepatkan penyediaan peranti semasa PdPR - EMIR Research
Astro Awani
Mei 17, 2021 12:32 MYT
Mei 17, 2021 12:32 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu mempercepatkan penyediaan peranti pintar kepada golongan yang memerlukan seperti keluarga B40 semasa pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).
Penganalisis Penyelidik di EMIR Research, Sofea Azahar menjelaskan, ia berkait peruntukan RM150 juta untuk Tabung CERDIK menyediakan komputer riba kepada 500 sekolah yang diumumkan dalam Belanjawan 2021.
Kata Sofea, kerajaan perlu mempercepatkan pengedaran berkenaan memandangkan peningkatan risiko COVID-19 hari ini.
Jelasnya, ia sekali gus meringankan beban ibu bapa yang tidak mempu membeli peranti kerana kekangan kewangan.
Pada masa sama ujarnya, disiplin dalam penggunaan peranti digital ini perlu disemai agar tiada penyalahgunaan dalam penggunaan sekali gus menjadikan pembelajaran dalam talian efektif seperti kelas fizikal.
Pada 25 April, laporan menyebut 13,000 komputer riba telah diedarkan oleh Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) kepada Pejabat Pendidikan Daerah di beberapa negeri dan lebih 1,000 pelajar telahpun menerima peranti mereka.
Inisiatif perintis tanggungjawab sosial korporat yang diumumkan dalam Belanjawan 2021 dikenali sebagai CERDIK juga sebelum ini menyasarkan 50,000 pelajar akan menerima peranti pada akhir Mei dan baki 100,000 lagi peranti akan diedarkan pada akhir September tahun ini.
Laporan Jabatan Perangkaan sebelum ini menyebut peratusan isi rumah yang mempunyai akses ke peranti digital iaitu komputer adalah 77.6 peratus lebih tinggi dari tahun sebelumnya (71.3 peratus).
Ia juga dapat dilihat dalam akses ke komputer yang lebih rendah berbanding telefon bimbit (98.6 peratus) yang menunjukkan ramai pelajar menggunakan telefon pintar untuk menghadiri kelas dalam talian.
Ujar Sofea, pelajar sebenarnya lebih mudah belajar menggunakan komputer riba atau tablet untuk mereka melihat persembahan slaid selain latihan dan soalan.
Katanya lagi, usaha meningkatkan capaian internet juga harus disegerakan melalui Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA).
Berdasarkan laporan JENDELA pada suku kedua 2021, jumlah aduan yang diterima pada suku pertama tahun ini meningkat kepada 54,538 berbanding 28,577 pada suku keempat 2020.
Aduan terbanyak adalah melibatkan kelemahan rangkaian 4G.
Sementara itu, Sofea turut melihat perlu ada bantuan kepada guru yang harus mengeluarkan wang sendiri untuk PdPR.
Katanya, guru juga memerlukan sokongan dan motivasi untuk terus mengajar.
Jelasnya, rasa saling memahami dan kerjasama antara pelajar, ibu bapa dan guru sangat diperlukan untuk memastikan pembelajaran dalam talian sentiasa berfungsi dengan baik pada saat ketidakpastian situasi hari ini.