Kerajaan perlu campur tangan isu kos pengangkutan - FOMCA

Rahimah Abdullah
Januari 9, 2019 17:23 MYT
Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) menggesa kerajaan campur tangan dalam isu melibatkan kos pengangkutan yang menyebabkan harga barangan tidak dapat dikurangkan walaupun berlaku penurunan harga petrol. Gambar Hiasan
Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) menggesa kerajaan campur tangan dalam isu melibatkan kos pengangkutan yang menyebabkan harga barangan tidak dapat dikurangkan walaupun berlaku penurunan harga petrol.
Timbalan Presidennya, Mohd Yusof Abdul Rahman berkata, ketika ini kebanyakan pengguna mahu penurunan harga petrol selaras dengan pengurangan harga barang.
"Memang ramai yang mengharapkan penurunan harga barang apabila harga minyak diturunkan. Namun, harga minyak ini ia berkaitan dengan kos pengangkutan, kalau kos pengangkutan tidak berubah, ia tidak akan beri kesan kepada harga barang.
"Jadi ia perlu dilihat sama ada kerajaan akan campur tangan supaya kos pengangkutan itu boleh diturunkan oleh syarikat pengangkutan. Mungkin itu boleh beri kesan kepada harga barang. Kalau tidak ada perubahan, maka penurunan itu tidak akan berlaku," katanya semasa dihubungi Astro AWANI.
Tambahnya lagi, isu kenaikan harga biasanya melibatkan pembekal yang menentukan bekalan barangan.
Bagaimanapun, setakat ini FOMCA belum menerima aduan rasmi pengguna mengenai kenaikan harga barangan sama ada sebelum atau selepas pengumuman penurunan harga runcit petrol minggu lalu.
"Setakat ini kita menerima apa-apa aduan daripada pengguna mengenai harga barang. Susah kita nak menjangkakan dari segi aduan pengguna bagaimana sebab kuasa pengguna kan, kalau takde aduan pengguna, kita pun tidak boleh nak mengajukan aduan tersebut kepada pihak berkuasa.
"Pihak berkuasa juga bergantung kepada pihak aduan pengguna untuk mengambil tindakan tentang harga barang terutamanya tentang harga barang seperti baru-baru ini rungutan harga telur dan sebagainya," katanya semasa dihubungi Astro AWANI.
Justeru, pengguna dinasihatkan membuat aduan kepada FOMCA dan kementerian terlibat jika berlaku kenaikan harga barangan yang mendadak.
Jumaat lalu, kerajaan menurunkan harga runcit petrol RON95 dan RON97 masing-masing 27 sen, manakala 14 sen bagi diesel sen.
Harga runcit RON95 akan diturunkan daripada RM2.20 kepada RM1.93 seliter, manakala RON97 akan diturunkan daripada RM2.50 kepada RM2.23 seliter sehingga 11 Januari ini.
#Astro #Astro Awani #diesel #Fomca #harga minyak #kerajaan #Malaysia #minyak #petrol #RON95 #RON97
;