Kerajaan perlu beri tumpuan selesaikan punca banjir - Aktivis alam sekitar
Astro Awani
Disember 25, 2022 04:45 MYT
Disember 25, 2022 04:45 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu memberikan tumpuan kepasa menyelesaikan beberapa isu yang menjadi punca banjir dan tidak lagi hanya tertumpu kepada penyaluran bantuan ketika rakyat berdepan bencana tersebut.
Aktivis alam sekitar Amlir Hayat berkata, sekiranya kerajaan tidak menyelesaikan masalah daripada puncanya, kerajaan akan terpaksa mengeluarkan jumlah wang yang banyak setiap tahun sedangkan punca utama masih belum diatasi.
“Contohnya, yang paling biasa kita tahu, masalah penebangan hutan dan penggunaan tanah yang tidak terkawal.
“Apabila hal ini berlaku, maka ia boleh menyebabkan masalah banjir yang bukan sahaja melibatkan kehilangan harta benda tapi juga kehilangan jiwa, seperti mana kita lihat dalam banjir tahun ini.
“Jadi perkara ini (selesaikan punca banjir) perlu diberi perhatian serius kerajaan,” katanya ketika bersiaran langsung dalam Buletin AWANI pada Ahad.
Dalam pada itu, beliau juga berharap kerajaan negeri dapat mewartakan rizab sungai dan menguatkuasakan undang-undang sedia ada terhadap semua sungai di negeri masing-masing.
“Perkara ini telah lama dibangkitkan. Kita ada banyak dokumen atau cadangan yang perlu dilaksanakan.
“Kebanyakan daripada dokumen ini nampaknya tidak dilaksanakan sepenuhnya, malah ada yang tidak dilaksanakan langsung.
“Jadi, ini satu kerugian sebab kerajaan membelanjakan wang yang banyak untuk sediakan dokumen ini tetapi tidak dilaksanakan untuk kesejahteraan rakyat,” ujarnya.
Dalam pada itu, ketika diminta menilai prestasi kerajaan baharu dalam menguruskan bencana banjir, Amlir menyifatkan kerajaan melakukan tugas yang agak baik.