Kerajaan perlu beri tumpuan kepada sistem pangkalan data di bawah MySPC - Hannah Yeoh

Astro Awani
September 30, 2022 14:30 MYT
Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh berkata, sistem tersebut harus disegerakan disegerakan bagi membantu mengoptimumkan pengurusan sumber.
KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu segera memberi tumpuan dan keutamaan kepada cadangan untuk mewujudkan sistem pangkalan data nasional perlindungan sosial di bawah Majlis Perlindungan Sosial Malaysia (MySPC).
Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh berkata, sistem tersebut harus disegerakan disegerakan bagi membantu mengoptimumkan pengurusan sumber dalam memastikan lebih ramai rakyat Malaysia menerima bantuan kebajikan, tanpa ada keciciran.
Menurutnya, pangkalan data sangat diperlukan kerana sistem perlindungan sosial dilihat ‘berpecah’ dengan kewujudan kira-kira 110 buah Program Perlindungan Sosial di Malaysia.
BACA: Majlis Perlindungan Sosial Malaysia (MySPC) diaktifkan semula
“Dengan bebanan tugas Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang besar dan kepelbagaian program kebajikan pelbagai pihak yang tidak diselaraskan, terdapat satu keperluan untuk mewujudkan pangkalan data yang menyeluruh bagi pihak yang menguruskan pelbagai program kebajikan.
“Ini boleh dilaksanakan dengan menggunakan MyKad sedia ada. Tanpa pangkalan data yang senang diakses, penerima bantuan ada yang sampai menerima lima beg sekolah dalam program Back-To-School atau lima guni beras untuk bantuan makanan.
“Ini sememangnya satu pembaziran dan menyebabkan ramai lagi tercicir daripada menerima bantuan kebajikan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
[TERKINI] Pangkalan Data Perlindungan Sosial (PDPS) Fasa 1 dilancar
Tambah beliau, JKM sehingga kini tidak mempunyai pekerja sosial mencukupi dan ia mengundang kepada berlakunya keciciran bantuan kepada rakyat.
“Nisbah pekerja sosial di JKM berbanding populasi penduduk Malaysia adalah 1:8,576 penduduk Malaysia.
“Nisbah ini besar jika kita bandingkan dengan negara-negara lain seperti satu pekerja sosial kepada 490 rakyat di Amerika Syarikat (1:490); satu kepada 1,040 di Australia (1:1,040); 1:3,025 di United Kingdom, dan jiran kita Singapura 1:3,448 orang,” ujarnya.
#Jabatan Kebajikan Masyarakat #jkm #rakyat Malaysia #Hanneh Yeoh
;