Kerajaan perlu beri lebih ruang buat pendidik tingkatkan kreativiti - Aktivis pendidikan

Fareez Azman
Mei 16, 2021 17:11 MYT
Aktivis Pendidikan, Zul Fikri Zamir berkata beberapa pencapaian cemerlang pendidik tempatan antaranya Cikgu Yasmin dan Cikgu Samuel sebelum ini memberi suntikan baharu kepada warga guru untuk lebih menonjol. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu memberi lebih ruang kepada pendidik untuk muncul dengan lebih kreatif dalam proses pengajaran dan pembelajaran terutamanya dalam talian.
Menurut Aktivis Pendidikan, Zul Fikri Zamir, beberapa pencapaian cemerlang pendidik tempatan antaranya Cikgu Yasmin dan Cikgu Samuel sebelum ini nyata memberi suntikan baharu kepada warga itu untuk lebih menonjol.
"Saya fikir kalau ikut standard antarabangsa, guru kita tidak jauh daripada standard tersebut. Ini contohnya pada tahun 2015 apabila Cikgu Yasmin tercalon Top 50 Global Teachers.
"Terbaharu apabila Cikgu Samuel muncul guru Top 10, itu membuktikan beberapa perkara bahawa guru muda kita telah mula keluar dan menonjolkan diri masing-masing," katanya ketika ditemubual Astro AWANI.
Ujarnya, salah satu faktor menjadi pemangkin apabila media sosial digunakan sebaik mungkin oleh tenaga pengajar untuk menarik minat pelajar.
"Salah satu sebab adalah media sosial, kedua pandangan umum kerana mereka ini harus dicalonkan guru, murid dan ibu bapa, bukan mereka calonkan diri mereka.
"Apakah guru kita berada di standard antarabangsa? Ya kita berada pada paras sama, cuma apa yang membezakan kita, sistem kita diikat dengan kuat Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) di Putrajaya menyebabkan isu birokrasi.
"Ia menyebabkan sebahagian besar guru-guru tidak dapat membebaskan diri keluar daripada kebiasaaan normal untuk lebih kreatif," katanya lagi.
Mengulas lanjut, ujarnya jurang yang wujud terutamanya melibatkan akses internet serta bahan pembelajaran digital perlu diselesaikan segera.
Malah ketika pandemik COVID-19 ketika ini, jelasnya lagi menyukarkan pendidikan dijalankan di sekolah.
Sebaliknya, Proses Pengajaran dan Pembelajaran di rumah (PdPR) menjadi alternatif yang terbaik untuk sektor pendidikan.
"Pihak kerajaan pada saya mudah, kena lihat dimana jurang itu wujud, jadi jurang pertama wujud ialah kesalinghubungan, bukan hanya di bahagian pedalaman, malah bandar pun bermasalah.
"Ada golongan B40 tidak mempunyai talian internet di rumah, lebih malang internet yang biasa sahaja pun tidak ada.
"Kedua, akses kepada bahan-bahan pengajaran dan pembelajaran seperti komputer riba, ini dua perkara sebab itu KPM pada April, Mac tahun lepas mengumumkan 30-40 peratus iaitu 1.5 juta anak-anak tidak ada akses digital," katanya lagi.
Jika jurang digital itu tidak dapat diselesaikan, tambah Zul Fikri lagi dikhuatiri ramai pelajar akan tercicir daripada pendidikan nasional.
"Ini akan mendatangkan masalah bila kita teruskan PdPR sebab jurang yang sedia ada akan menimbulkan jurang lebih besar.
"Anak-anak yang dulu boleh belajar di sekolah kali ini tidak dapat belajar sebab tiada komputer riba, internet dan sebagainya.
"Jadi kalau tanyakan pada saya, ini bukan masalah KPM sendirian, ini masalah bersama maksudnya Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) harus bersama menyelesaikan masalah jurang dan kesalinghubungan sangat kritikal," katanya lagi.
#Astro Awani #Putrajaya #Malaysia #COVID-19 #pengajaran dan pembelajaran #Kementerian Komunikasi dan Multimedia #KKMM #pelajar #sekolah #media sosial #Media #pendidikan #guru #pandemik #suntikan #PdPR
;