Kerajaan perlu agresif kekang sindiket sebar berita palsu
Firdaus Azil
Januari 18, 2020 17:09 MYT
Januari 18, 2020 17:09 MYT
Kerajaan perlu bertindak lebih agresif dalam mengesan dan melumpuhkan sindiket di sebalik penularan berita palsu, kata Pensyarah Kanan Universiti Nasional Australia, Dr Ross Tapsell.
Jelas beliau, ia adalah lebih baik berbanding mensasarkan individu tertentu yang berkemungkinan besar tidak tahu ia merupakan kesalahan dalam berkongsikan sesuatu yang tidak benar.
“Ada beberapa negara di bahagian lain yang telah mensasar individu, dan ia menjadi satu masalah kerana mereka ini tidak tahu ia adalah berita tidak benar, ada masanya mereka hanya membuatnya untuk tujuan politik, yang mungkin tidak bermaksud untuk membawa mudarat.
“Tetapi jika anda melumpuhkan sindiket berkenaan, saya rasa itu yang paling penting kerana itu permasalahan yang semakin besar, bukan sahaja di rantau ini, tetapi di seluruh dunia,” katanya kepada pemberita selepas menjadi speaker Forum Building Malaysia’s Resistance Against Fake News, anjuran Hacks/Hackers dan Merdeka Centre, di sini hari ini.
Turut menjadi speaker, pejuang kecelikan maklumat, Hazwany Jamaluddin, dan Pengarah Faqcheck Lab, Khalil Majeed.
Mengulas lanjut, Tapsell berkata, langkah kerajaan kini memansuhkan Undang-undang Anti Berita Tidak Benar adalah bertepatan kerana terma yang digunakan dalam akta itu adalah kabur, serta mempunyai kecenderungan untuk menjadi senjata politik pemerintah.
Mengulas mengenai langkah kerajaan mewujudkan Majlis Media Malaysia melalui pelantikan 17 ahli jawatankuasa pro-tem baru-baru ini, Tapsell berkata, penubuhan majlis yang serupa di beberapa negara telah membuktikan keberkesanannya.
Ujarnya lagi, adalah penting bagi media untuk dijauhkan dari sebarang pengaruh politik kerana apa yang penting ialah penyaluran maklumat yang tepat untuk kepentingan rakyat.
“Indonesia telah mewujudkan majlis media selepas melalui zaman Reformasi, dan kita nampak ia secara amnya ia telah berjaya dalam menjadi media bebas dari kerajaan. Begitu juga dengan Australia.
“Jadi secara keseluruhannya, saya sangat menyokong sebarang penubuhan majlis atau suruhanjaya, bagi memastikan media benar-benar bebas,” katanya lagi.
#Akta Anti Berita Tidak Benar
#berita palsu
#Dr Ross Tapsell
#Hack Hackers
#Indonesia
#Merdeka Center
#undang-undang
#Universiti Nasional Australia