Kerajaan perlu agihkan kekayaan negara sama rata antara kaum - Tun M
Azyyati Ahmad
Januari 14, 2019 10:10 MYT
Januari 14, 2019 10:10 MYT
“Kita tak nak lihat negara kita nampak terlalu kaya tetapi kekayaan tidak diagihkan secara adil antara semua kaum.”
Itu antara pesanan Tun Dr Mahathir Mohamad dalam ucapan beliau ketika perjumpaan bulanan Perdana Menteri bersama warga Jabatan Perdana Menteri bagi bulan Januari 2019 di Dataran Perdana, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya hari ini.
Katanya, kakitangan kerajaan perlu tahu dan ambil iktibar dari sejarah penubuhan Malaysia agar kesalahan yang lalu tidak berulang lebih-lebih lagi melibatkan rusuhan antara kaum.
“Kita perlu belajar dari sejarah kita dan saya harap setiap seorang dari kita, sama ada pegawai kerajaan, ahli-ahli politik atau pun pemimpin-pemimpin kerajaan faham latar belakang sejarah negara supaya kita tidak ulangi kesalahan kita yang lama.
“Sebaliknya kita tentukan negara kita terus aman dan semua kaum dapat hidup bersama tanpa rusuhan dapat agihkan kekayaan negara dapat dilakukan secara adil dan saksama, inilah harapan kita,” katanya.
Dr Mahathir turut membandingkan pencapaian Malaysia dengan negara lain yang tidak mempunyai kepelbagaian kaum tetapi bergelut dengan masalah besar perpisahan antara miskin dan kaya.
“Sebab itu kita perlu tumpukan kepada mengatasi soal kemiskinan di antara kaum. Kita tumpukan lebih kepada melayu dan bumiputera kerana mereka lebih ramai yang miskin.
“Hari ini kita dapati mereka terpisah di luar bandar dan keadaan mereka tak seperti di bandar di mana segalanya mencukupi. Ini yang harus kita ingat dan menjadi tugas kita, negara kita mengagihkan kekayaan sama rata. Jika tak sepenuhnya sekurang-kurangnya pada satu tahap yang diterima semua,” katanya.
Tegas Dr Mahathir, jika kesamarataan dan kedudukan yang selesa dapat dicapai di antara semua kaum, maka itu adalah kejayaan sebenar kerajaan dalam usaha membangunkan negara.
Turut hadir dalam perjumpaan berkenaan adalah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mujahid Yusof Rawa.
#kakitanagn kerajaan
#kaum
#kerajaan
#Mahathir Mohamad
#Melayu
#politik
#Putrajaya
#rusuhan
#Wan Azizah Wan Ismail