Kerajaan perkukuh pelaksanaan Dasar Bumiputera - Muhyiddin

Wan Syamsul Amly
Oktober 1, 2020 09:18 MYT
Pada majlis sama, Muhyiddin turut mengumumkan resolusi hal ehwal Bumiputera diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM). - Foto Astro AWANI/Shahir Omar
KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang memperkukuh pelaksanaan Dasar Bumiputera dalam perolehan melalui beberapa penambahbaikan dasar termasuk menambahbaik mekanisme pemantauan dan pengutkuasaan pelaksanaan dasar.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia sekali gus membuktikan komitmen kerajaan dalam mengekalkan dasar memberi keutamaan kepada syarikat Bumiputera.
"Kita mesti sedar bahawa mahu tidak mahu kaum Bumiputera mesti bergerak seiring dengan perkembangan ekonomi dunia terkini, termasuklah untuk merangka dan mewujudkan ekosistem Bumiputera yang lebih positif, berdaya saing dan kompetitif dalam arus teknologi yang berkembang pesat.
"Kita tidak boleh lagi berada di takuk lama dan perlu mengharungi norma baru apatah lagi dalam keadaan ekonomi yang semakin mencabar susulan wabak COVID-19," katanya semasa pelancaran penutup Kongres Ekonomi Bumiputera 1 (KEB 1) 1965-2020 di sini, pada Khamis.
Pada majlis sama, Muhyiddin turut mengumumkan resolusi hal ehwal Bumiputera diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM).
KEB 1 1965-2020 hari ini, menggariskan 13 resolusi yang perlu diberi perhatian bagi memperkasakan semula Bumiputera, selain menterjemahkan semua peluang dan hak dengan lebih bijaksana.
Antara resolusi yang diperakui dan perlu diambil tindakan adalah Majlis Raja-Raja bersama Kerajaan bertanggungjawab melindungi dan memelihara hak dan kepentingan Bumiputera seperti mana diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan dan diwasiatkan dalam Wasiat Raja-Raja Melayu.
Sebelum ini, Setiausaha Agung MPM, Prof Datuk Dr Hasan Mad berkata, pembaharuan semula resolusi itu bertujuan mengembalikan kredibiliti institusi-institusi berkaitan pemerkasaan Bumiputera seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA), Perbadanan Pembangunan Bandar (UDA), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Perbadanan Nasional Berhad (PNS) yang sebelum ini dikenali sebagai Pernas.
Dalam pada itu kata Muhyiddin, kerajaan akan terus memberi bantuan pinjaman kewangan melalui SME Bank, TEKUN Nasional, Amanah Ikhtiar Malaysia dan beberapa institusi lain.
Pada 2019, Bumiputera merupakan kaum yang paling miskin dengan insiden kemiskinan mutlak tertinggi iaitu 7.2 peratus berbanding Cina (1.4 peratus) dan India (4.8 peratus).
Selain itu, jurang pendapatan purata antara Bumiputera dan Cina adalah sebanyak RM2,802, iaitu empat kali lebih tinggi berbanding pada tahun 1989.
#Muhyiddin Yassin #MARA #Bumiputera #koronavirus #Malaysia #Melayu #Perdana Menteri #kerajaan #dasar Bumiputera