Kerajaan perkenal kad diskaun khas peniaga Menu Rahmah esok
Ridauddin Daud
November 1, 2023 15:17 MYT
November 1, 2023 15:17 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan akan memperkenalkan kad diskaun khas untuk peniaga Menu Rahmah pada esok.
Pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, langkah itu dibuat bagi membolehkan peniaga membeli bahan mentah dengan harga lebih murah.
Menurutnya, potongan harga itu melibatkan enam pasar raya yang menjalinkan kerjasama dengan kementerian tersebut.
“Esok saya akan turun bersama Timbalan Menteri (KPDN) bagi satu inisiatif terbaharu iaitu penawaran kad diskaun rahmah kepada pengusaha kafe dan restoran terlibat.
“Ia sebagai insentif kepada mereka yang menyokong usaha kerajaan selama ini,” katanya.
Beliau berkata demikian di Dewan Rakyat pada Rabu ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2024 mewakili KPDN.
Untuk rekod, inisiatif Menu Rahmah dilancarkan bekas Menteri KPDN, Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 31 Januari tahun ini.
Ia bagi membantu mengurangkan beban hidup rakyat terutamanya golongan kurang berkemampuan.
Menerusi program itu, restoran atau kafe yang mengambil bahagian dalam inisiatif tersebut menjual sajian atau menu dengan tawaran harga RM5.