Kerajaan perkenal harga siling bergerak untuk atasi masalah sekuriti makanan - PM

Astro Awani
Jun 13, 2022 09:46 MYT
Perdana Menteri memaklumkan keputusan itu dibuat seiring dengan perancangan bantuan terus bersasar kepada golongan yang memerlukan seperti yang diumumkan sebelum ini. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Bagi mengatasi masalah sekuriti makanan, kerajaan bersetuju untuk memperkenalkan harga siling bergerak yang berubah kepada faktor harga input.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan keputusan itu dicapai dalam mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi pada Isnin.
Perdana Menteri memaklumkan keputusan itu dibuat seiring dengan perancangan bantuan terus bersasar kepada golongan yang memerlukan seperti yang diumumkan sebelum ini.
Dalam satu kenyataan, perdana menteri turut memaklumkan ekosistem agromakanan diperluaskan dengan bekalan diterajui oleh syarikat pelaburan kerajaan (GLC), syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan agensi kerajaan.
"Koordinasi ini bagi memastikan kualiti, kuantiti dan pengeluaran hasil ke tahap optimum selain bekalan terjamin.
"Sebagai contoh bekalan dan harga ayam dapat dikawal sekiranya agensi kerajaan yang berkenaan terlibat dalam ekosistem industri penternakan bermula daripada membekal anak ayam, dedak, pengangkutan, pemasaran dan sebagainya," katanya.
Beliau juga menjelaskan, dalam usaha meningkatkan keluasan tanah bagi kegunaan pertanian, kerjasama Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri akan dipertingkatkan.
Kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri ini, kata Perdana Menteri mengurangkan kebergantungan terhadap import makanan.
"Perkara ini akan dibincangkan dengan lebih lanjut dalam mesyuarat dengan Menteri Besar dan Ketua Menteri dalam masa terdekat," katanya lagi.
Bagi menangani isu kekurangan kerja mahir dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E), kerajaan telah bersetuju untuk melaksanakan “Program Train & Place untuk Jurutera & Juruteknik” kepada 1,000 jurutera dan 1,000 juruteknik.
Selain itu, Perdana Menteri memaklumkan kerajaan juga telah bersetuju untuk memperbaiki dan mempercepat mekanisme pengambilan ekspatriat dan pekerja asing.
Jelas beliau, kerajaan komited terhadap kajian yang berdaya maju dan berpotensi untuk dimanfaatkan secara strategik bagi mendepani cabaran global bagi menjamin ekosistem sekuriti makanan lebih inklusif dan menyeluruh demi kesejahteraan Keluarga Malaysia.
#Perdana Menteri #ismail sabri yaakob #harga siling #sekuriti makanan #bantuan terus bersasar #Agromakanan