Kerajaan perkenal dasar pinjaman boleh ubah program pinjaman latihan kemahiran
Umavathi Ramayah
Mei 1, 2021 11:50 MYT
Mei 1, 2021 11:50 MYT
PUTRAJAYA: Dalam usaha mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing, kerajaan akan memperkenalkan dasar pinjaman boleh ubah Program Pinjaman Latihan Kemahiran peringkat Diploma Lanjutan
Kemahiran Malaysia.
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata inisiatif menerusi Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran itu adalah sejajar dengan hasrat kerajaan untuk meningkatkan bilangan pekerja mahir dalam negara.
Beliau menjelaskan ia adalah satu daripada tiga strategi utama dalam membantu meringankan beban pekerja yang berdepan dengan kesukaran COVID-19.
"Kerajaan juga terus berusaha meningkatkan kemahiran tenaga kerja dalam mempersiapkan kebolehpasaran untuk pekerjaan masa hadapan.
"Walaupun banyak institusi latihan terpaksa ditutup berikutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sesi pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian tetap diteruskan dan program latihan secara modular dan micro credentials diperluaskan," katanya ketika Perutusan Hari Pekerja 2021 yang disiarkan secara langsung pada Sabtu.
Muhyiddin menambah sebagai salah satu usaha pendigitalan kerajaan, hab e-pembelajaran baharu yang dikenali sebagai e-LATiH dibangunkan untuk membolehkan rakyat Malaysia mengakses secara percuma lebih 300 modul latihan pengembangan kemahiran yang disediakan berdasarkan keperluan industri
Malaysia.
Dalam usaha mengurangkan jumlah pengangguran, beliau turut menyentuh usaha yang dilaksanakan kerajaan termasuk perkhidmatan pekerjaan dan pemadanan kerja melalui Portal Perkhidmatan Pekerjaan Negara (MYFutureJobs), pusat sehenti UpskillMalaysia dan Short-term Employment Programme
atau MySTEP.
Di bawah program MySTEP, katanya, seramai 30,377 berjaya mendapat pekerjaan sejak diperkenalkan hingga 16 April lalu.
#Muhyiddin Yassin
#Hari Pekerja 2021
#pekerja asing
#dasar pinjaman boleh ubah
#Program Pinjaman Latihan Kemahiran
#Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia
#Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran
#e-LATiH
#hab e-pembelajaran baharu