Kerajaan perkemas syarat, undang-undang mudahkan pelabur asing - Tun M

Harits Asyraf Hasnan
Jun 21, 2019 17:02 MYT
Dr Mahathir ketika Sesi Dialog Bersama Pemain Industri Thailand di Bangkok, hari ini. - BERNAMA
Kerajaan sedang memperkemas syarat, peraturan dan undang-undang bagi memudahkan pelabur asing untuk melabur di Malaysia.
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan, walaupun Malaysia berubah Kerajaan, namun polisi 'mesra perniagaan' masih diamalkan oleh pentadbirannya.
"Kami mesra kepada peniaga dan pelabur. Walaupun ada kerajaan baharu, polisi masih lagi mesra perniagaan. Jadi apabila pelabur datang untuk melabur di Malaysia, kita akan cuba membantu apa yang termampu.
"Sudah tentu ada peraturan, syarat dan undang-undang yang perlu dipatuhi, tetapi kami sedang memperkemas semua ini bagi memudahkan pelaburan dari negara luar," katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Sesi Dialog Bersama Pemain Industri Thailand di sini, hari ini.
Jelas Dr Mahathir, pasaran ASEAN yang mempunyai 600 juta penduduk perlu digunakan sebaik mungkin dalam memperkaya penduduk di rantau ini.
"Mungkin pendapatan per kapita agak rendah, tetapi walaupun ia rendah, kehendak rakyat yang miskin amat luas. Sekiranya perdagangan dan perniagaan dapat diperluas, rakyat akan lebih kaya sekaligus kita mempunyai pasaran yang baik," ujarnya.
Hadir sama pada sesi dialog tersebut adalah Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah; Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ignatius Darell Leiking.
Pemimpin korporat Thailand yang hadir diketuai oleh Pengerusi Jawatankuasa Tetap Bersama Perniagaan, Industri dan Perbankan Thailand, Kalin Sarasin.
#Bangkok #Mahathir Mohamad #mesra pelaburan #pelaburan asing #Thailand
;