Kerajaan perhalusi langkah bantu pengusaha restoran, pertimbang guna 'gig workforce' - Rafizi

Fareez Azman
Januari 27, 2023 18:01 MYT
Kementerian Ekonomi sedang memperhalusi beberapa langkah untuk menangani kenaikan kos yang ditanggung peniaga dan pengusaha restoran di negara ini. - Fail BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kementerian Ekonomi sedang memperhalusi beberapa langkah untuk menangani kenaikan kos yang ditanggung peniaga dan pengusaha restoran di negara ini termasuk cadangan menggunakan khidmat tenaga kerja sambilan dalam sektor perkhidmatan makanan dan minuman (F&B).
Menurut Menterinya, Rafizi Ramli, kerajaan sedia maklum beberapa cabaran pengusaha restoran terutama kenaikan kos pekerja akibat pelaksanaan gaji minimum RM1,500.
Ujar Rafizi, perbincangan akan dijalankan bersama wakil-wakil pengusaha restoran dan kedai makan dalam masa terdekat.
"Ada beberapa langkah yang sedang diperhalusi pelaksanaannya untuk membantu peniaga dan pengusaha restoran menangani kenaikan yang mereka tanggung, termasuklah potensi menyebar luas model tenaga kerja sambilan (gig workforce) dalam sektor restoran dan kedai makan (F&B).
"Ia adalah sebahagian dari usaha untuk menyelaraskan pasaran kerja dengan tuntutan sektor ekonomi, yang menjadi sebahagian dari usaha menyeluruh menstrukturkan kembali ekonomi negara," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Rafizi pada masa sama, menyambut baik pandangan Presiden persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma), Datuk Jawahar Ali Taib Khan mengenai peranan semua pihak dalam menangani kenaikan harga makanan dan minuman.
"Dalam masa terdekat ini, saya akan bertemu dengan wakil-wakil pengusaha restoran dan peniaga makanan untuk membincangkan secara dua hala langkah-langkah yang boleh diambil bersama oleh kerajaan dan
pengusaha restoran dan peniaga makanan.
"Saya menyambut baik pandangan Presiden Presma, Datuk Jawahar Ali Taib Khan mengenai peranan yang perlu dimainkan oleh kerajaan, peniaga dan pengguna dalam menangani kenaikan harga makanan dan minuman yang dinyatakan di dalam program Dialog Tiga Penjuru Astro AWANI semalam," kata Rafizi.
Seperti perangkaan inflasi yang diumumkan Jabatan Statistik Malaysia (DOSM) baru-baru ini, ujar Rafizi, meskipun inflasi mereda daripada 4.0 peratus kepada 3.8 peratus, namun kategori harga di restoran dan hotel satu-satunya kategori yang masih belum mereda iaitu kenaikan 7.4 peratus pada Disember 2022 berbanding 7.0 peratus bulan sebelumnya.
"Pandangan Datuk Jawahar adalah selari dengan pandangan kerajaan supaya pengguna peka kepada kenaikan harga makanan dan minuman yang dibeli dan bijak memilih kedai dan restoran yang menawarkan harga yang lebih baik berbanding pesaing-pesaing.
"Usaha mengekang inflasi memerlukan semua pihak menggembleng usaha bersama," jelasnya lagi.
#Rafizi Ramli #harga makanan #restoran #gig workforce
;