Kerajaan percepat pelaksanaan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga
Luqman Hariz
Julai 11, 2023 14:45 MYT
Julai 11, 2023 14:45 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mempercepatkan pelaksanaan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga (NETR) bagi mengangkat Malaysia menjadi peneraju serantau dalam tenaga boleh baharu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beberapa projek flagship rintis dan inisiatif akan dijalankan bagi meningkatkan penyertaan industri, meneroka sumber tenaga baharu serta membentuk permintaan pasaran dan mengenal pasti sumber kewangan yang diperlukan.
“Fasa Pertama NETR akan mengetengahkan sepuluh projek rintis perdana yang strategik dan bernilai tinggi sebagai langkah pelaksanaan Dasar Tenaga Negara 2022-2040 dengan jangkaan pelaburan bernilai RM25 bilion, mewujudkan 23,000 pekerjaan berkualiti tinggi, dan mengurangkan pelepasan karbon dioksida setara melebihi 10,000 gigagram secara bertimbunan (cumulative),” katanya.
Katanya, NETR Fasa Pertama akan bermula pada 27 Julai 2023, dengan fasa kedua disusuli pada Ogos tahun ini.
Perdana Menteri turut menekankan komitmen kerajaan dalam membasmi budaya “Ali Baba” atau rent-seeking.
“Anggaran kerugian mencecah sekitar 1 peratus daripada KDNK dan melibatkan aspek perolehan, perlesenan, pemberian permit dan kuota, serta pemberian subsidi dan geran.
“Oleh yang demikian, Kementerian Ekonomi dan Jabatan Peguam Negara, dengan penglibatan Kementerian dan Agensi Kerajaan, akan mengkaji dan merangka dasar dan strategi perundangan ang bersesuaian untuk membanteras aktiviti rent-seeking dan membentangkan cadangan kepada Jemaah Menteri,” katanya.
Bergerak ke hadapan, Anwar turut berkata, Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) akan terus merumuskan langkah dan inisiatif bagi menambah baik tatakelola serta perubahan struktur demi meningkatkan potensi ekonomi negara.
Katanya, kerajaan sentiasa berusaha memastikan negara mencapai Aspirasi Negara Rendah Karbon 2040 di samping memenuhi keperluan sosioekonomi rakyat.