Kerajaan Perak saran pengusaha teliti semula waktu pendaftaran masuk, keluar hotel
Bernama
Oktober 9, 2024 23:21 MYT
Oktober 9, 2024 23:21 MYT
IPOH: Kerajaan Perak menyarankan pemilik hotel untuk menetapkan waktu daftar masuk dan keluar yang bersesuaian, agar tidak timbul sebarang isu berbangkit melibatkan kepentingan pelanggan.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak Sandrea Ng Shy Ching berkata perkara itu perlu diteliti pengusaha hotel, kerana ia mampu memberi kesan langsung terhadap pendapatan serta ketibaan pelancong ke negeri ini.
"Kita tidak mempunyai kuasa menetapkan hal ini (waktu daftar masuk dan keluar) dan ia tertakluk kepada pengusaha hotel dalam menentukannya. Enakmen Hotel Perak 2023 juga hanya tertakluk kepada aspek keselamatan, kebersihan dan operasi.
Namun, apabila perkara ini menjadi isu, maka untuk kebaikan semua termasuk industri pelancongan, ia perlu diteliti semula," katanya pada sidang media Program Perak Pawsitive Initiative-Program Pemandulan Kucing Bersubsidi @ Tanjong Malim di sini hari ini.
Sebelum ini, tular di media sosial tindakan sesetengah pengusaha hotel menetapkan waktu daftar masuk ke premis mereka bermula 4 petang dan perlu keluar seawal 11 pagi, yang mencetuskan rasa tidak puas hati pelanggan.
Pada 26 Sept, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing dilaporkan berkata Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) akan mengadakan mesyuarat khas untuk membincangkan isu waktu daftar masuk dan keluar hotel.
Sementara itu Ng berkata progam hari ini merupakan inisiatif bagi mengimbangi antara populasi kucing dan kos pemandulan, dalam usaha mendidik pemilik haiwan mengenai keperluan mengurangkan kadar kelahiran anak kucing yang tidak diingini.
Beliau berkata pihaknya bekerjasama dengan Klinik Haiwan dan Surgeri Tanjong Malim, selain menyasarkan 200 ekor kucing akan menjalani proses pemandulan bersubsidi di klinik berkenaan.
"Program ini terbuka kepada semua yang ingin memandulkan kucing peliharaan mereka. Harga yang ditetapkan ialah RM40 (harga asal RM120) bagi kucing jantan dan RM90 (harga asal RM170) bagi kucing betina.
"Diharapkan program ini mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat sekali gus menjamin keharmonian komuniti dan kebajikan haiwan," katanya.
-- BERNAMA