Kerajaan Perak kesal segelintir peniaga diskriminasi petugas barisan hadapan
Abd Razak Mohd Ali
Januari 28, 2021 17:25 MYT
Januari 28, 2021 17:25 MYT
TAIPING: Kerajaan negeri kesal dengan tindakan segelintir pihak yang memandang serong kakitangan barisan hadapan termasuk kakitangan penjara dan kem tahanan yang terpaksa berhadapan dengan kes COVID-19.
Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad, berkata pihaknya menerima maklumat ada premis perniagaan di Taiping, yang menampal pelekat melarang kakitangan penjara dan Kem Tahanan Kamunting (Kemta), memasuki premis mereka.
Katanya, tindakan diskriminasi itu salah dan dianggap sebagai satu penghinaan kerana mereka bukan pesakit COVID-19 atau kontak rapat yang bebas melanggar prosedur operasi standard (SOP).
"Kakitangan penjara dan petugas barisan hadapan tidak bersalah dan persepsi itu memberikan gambaran tidak baik, sedangkan mereka yang dijangkiti COVID-19 adalah banduan yang berada di dalam penjara.
"Cara itu merupakan satu hukuman yang salah, kerana yang positif wabak itu hanya melibatkan banduan dalam penjara, tetapi yang keluar itu adalah kakitangan yang bertugas dan mereka telah menjalani kuarantin.
"Kecenderungan orang ramai takut, tetapi janganlah kita memberikan persepsi yang salah kepada petugas barisan hadapan sehingga mereka malu, sedangkan mereka perlu ke kedai dan pasar raya untuk membeli barangan keperluan," katanya ketika ditemui pemberita selepas meninjau sekatan jalan raya (SJR) di Plaza Tol Changkat Jering di sini hari ini.
Saarani turut meminta semua pihak supaya menghormati dan menghargai petugas barisan hadapan termasuk pasukan polis dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), yang bersusah payah memastikan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dipatuhi dalam usaha memutuskan rantaian COVID-19.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata pusat kuarantin dan rawatan COVID-19 (PKRC) di Perak di dua lokasi iaitu Arena Badminton Perak, Ipoh dan Ulu Kinta, masih mampu menampung jumlah pesakit kerana terdapat pesakit yang dikuarantin akan dibebaskan dalam tempoh 10 hari.
"Dulu ada cadangan hendak mewujudkan PKRC di Taiping, tetapi setakat ini ia akan diwujudkan di luar Perak di sebelah utara manakala mereka yang dari selatan Perak dihantar ke Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), Serdang, Selangor," katanya.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan semua wakil rakyat dan ketua jabatan kerajaan di Perak supaya menunjukkan tauladan yang baik dalam usaha memutuskan rantaian pandemik COVID-19.
"Semua wakil rakyat kita ingatkan supaya waktu mereka turun untuk memberi sumbangan dan sebagainya, mereka perlu patuhi SOP. Tak ada selfie dan seumpamanya. Mereka perlu tunjuk tauladan yang baik," katanya.
#Perak
#peniaga
#diskriminasi
#pandang serong
#barisan hadapan
#Menteri Besar
#Saarani Mohamad
#penjara
#kem tahanan
#kamunting
#Taiping