Kerajaan Perak bantu pelajar bawa pulang kitab Turath
Bernama
April 17, 2024 06:15 MYT
April 17, 2024 06:15 MYT
IPOH: Kerajaan Negeri Perak sedia membantu dalam mengurus dan membawa pulang 200 kitab turath atau kitab tradisi ilmu Islam tulisan ulama Nusantara yang dikumpul oleh Muhammad Nur Hadi Sallehuddin, 24, pelajar Malaysia di Universiti Al-Azhar Mesir.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kerajaan negeri menghargai jasa pelajar tajaan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) itu yang bersungguh-sungguh mengumpulkan khazanah berharga tersebut.
"Saya tahu ia melibatkan perbelanjaan dan dia sendiri telah mengeluarkan duit poket sebanyak RM20,000 dan proses membawa pulang kitab-kitab itu juga akan memakan kos.
"Kita akan bincang dengan MAIPk tentang apa yang kerajaan negeri boleh bantu," katanya pada sidang media, di sini, pada Rabu selepas melancarkan Bantuan Sara Diri dan Bantuan Kecemasan Mahasiswa Perak 2024 di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak.
Beliau berkata, usaha yang dilakukan pelajar itu bukanlah sesuatu yang mudah dan sebarang bentuk penghargaan atau pengiktirafan boleh menjadi galakan serta motivasi kepada orang lain untuk melakukan perkara sama.
Muhammad Nur Hadi adalah penuntut tahun akhir Universiti Al-Azhar dalam bidang Usuluddin pengkhususan Pengajian Hadis telah membelanjakan hampir RM20,000 wang simpanannya bagi mendapatkan kitab terbabit.
Anak ketiga daripada lapan beradik yang berasal dari Padang Rengas itu mula mengumpul karya turath tulisan ulama Nusantara sejak 2020.
Mengulas mengenai pelancaran Bantuan Sara Diri dan Bantuan Kecemasan Mahasiswa Perak 2024 pula, Saarani berkata, inisiatif itu adalah bagi meringankan beban kewangan mahasiswa daripada keluarga kurang berkemampuan dan yang berdepan situasi di luar jangkaan.
Beliau juga berkata, kerajaan negeri telah memperuntuk RM2 juta bagi tujuan itu dan terbuka kepada semua mahasiswa kelahiran Perak yang layak melalui permohonan secara dalam talian di pautan www.eheyns.com.my. - BERNAMA