Kerajaan Perak akui 6 kuari dibenar beroperasi di Hutan Simpan Kekal Segari Melintang

Abd Razak Mohd Ali
Februari 3, 2021 20:17 MYT
Antara kuari yang ditinjau dalam Op Gempur Kuari di Manjung, Perak hari ini. - Gambar/ Astro AWANI
MANJUNG: Kerajaan Perak mengakui sebanyak enam kuari beroperasi di dalam kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) Segari Melintang di sini dengan semua pengusaha projek itu dikesan melanggar syarat kelulusan Penilaian Kesan Alam Sekeliling (EIA).
Exco Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Mohd Akmal Kamarudin, berkata secara keseluruhan pihaknya mengesan 52 kesalahan pelanggaran syarat dilakukan enam kuari itu serta tiga lagi kuari di kawasan persendirian di daerah ini.
Beliau berkata, dua daripada kuari itu telah diperintah menghentikan operasi dengan pihaknya mengeluarkan 42 kompaun bernilai RM2,000 setiap satu.
Katanya, sebanyak 10 kertas siasatan turut dibuka di samping beberapa tindakan penguatkuasaan lain.
"Op Gempur Kuari ini akan terus dilaksanakan bagi memastikan tindakan penguatkuasaan yang dijalankan memberi mesej kepada semua pihak bahawa Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan agensi-agensi berkaitan serius dan komited dalam mengambil tindakan terhadap pesalah-pesalah alam sekitar.
"Kita juga mahu memastikan pihak pemaju menjalankan operasi dan kerja-kerja tanah mengikut kehendak perundangan yang telah ditetapkan dan memastikan kepentingan alam sekitar diberi perhatian serius oleh pihak-pihak berkenaan," katanya.
BACA: Air Terjun Tanjung Batu, Segari masih terpelihara, yang tular alur air bermusim- Exco Perak
BACA: Kerajaan Perak sekali lagi tegaskan Air Terjun Tanjung Batu tidak musnah - Exco
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Op Gempur Kuari di Dewan Orang Ramai Sungai Batu, Pantai Remis, pada Rabu.
Hadir sama Pengarah JAS Perak, Rosli Zul serta Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Perak, Datuk Ir Ahmad Zukni Ahmad Khalil.
Mengulas lanjut, Mohd Akmal berkata antara kesalahan yang dikesan dilakukan pengusaha kuari ialah gagal menyediakan kawalan hakisan dan kelodak yang berkesan selain gagal menyediakan sistem tertutup pemindahan batuan.
Katanya, berikutan itu JAS akan terus memantau dengan lebih ketat bagi memastikan kuari-kuari berkenaan mematuhi arahan-arahan yang telah dikeluarkan.
Beliau berkata, hampir kesemua projek kuari itu termasuk di HSK Segari Melintang mempunyai kebenaran untuk beroperasi sejak lebih 20 tahun lalu dan mempunyai kelulusan EIA.
Baru-baru ini media melaporkan dua kuari yang beroperasi di HSK Segari Melintang telah menyebabkan berlaku kerosakan alam sekitar.
Sementara itu, difahamkan HSK di bawah pengurusan Jabatan Perhutanan Negeri mempunyai dua kategori iaitu hutan hutan perlindungan dan hutan pengeluaran.
Hutan perlindungan diwartakan sebagai kawasan perlindungan sepenuhnya daripada sebarang aktiviti manusia manakala hutan pengeluaran pula dibenarkan aktiviti pengeluaran hasil dengan permit.
#kuari #HSK #Hutan Simpan Kekal #segari melintang #ada kebenaran #langgar syarat #EIA #alam sekitar
;