Kerajaan Perak akan bantu keluarga pengawal keselamatan maut di Gunung Lang - Exco
Bernama
Januari 7, 2024 06:45 MYT
Januari 7, 2024 06:45 MYT
IPOH: Kerajaan Perak menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan membantu keluarga pengawal keselamatan yang ditemukan maut di sebuah tapak perkhemahan Gunung Lang, di sini Rabu lepas.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri Datuk Salbiah Mohamed berkata pihaknya telah meminta JKM untuk melihat keperluan keluarga lelaki itu antaranya dari segi bantuan persekolahan anak-anak mangsa.
"Setakat ini kalau JKM, kita boleh pergi sampai RM1,000 bantuan, untuk anak yang bersekolah, jadi kita akan tengok anaknya berapa orang bersekolah yang boleh kita bantu.
"Kita memang minta JKM untuk santuni mereka dan kita bantu apa yang boleh bantu. Kalau kita minta JKM itu maknanya kita akan memastikan bantuan bulanan terutamanya kepada anak yang bersekolah," katanya kepada pemberita selepas program Business Fundamental Mastery (BFM) High Tea di sini semalam.
Pada 3 Jan lepas, polis menahan seorang lelaki yang juga bekas pesakit mental bagi membantu siasatan kes pengawal keselamatan berusia 41 tahun itu yang dipercayai dibunuh.
Sementara itu, Salbiah berkata seramai 10 usahawan yang terpilih dalam program hari ini akan diberi geran sebanyak RM10,000 bagi mendapatkan pensijilan halal.
Beliau berkata program yang dianjurkan pihaknya bersama Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK) itu selaras dengan hasrat kerajaan negeri yang menyasarkan lebih 1,000 syarikat mempunyai pensijilan halal di Perak menjelang 2030.
"Untuk memastikan perkara itu dilaksanakan, kita kena kenal pasti usahawan yang dah ke peringkat (berjaya), apa masalah yang mereka hadapi... jadi kita akan cuba membantu usahawan yang benar-benar terpilih nanti untuk mereka dapat sijil halal," katanya.
-- BERNAMA