Kerajaan pelawa kerjasama pemuliharaan hidupan liar
Bernama
Ogos 19, 2018 06:47 MYT
Ogos 19, 2018 06:47 MYT
Kerajaan mengalu-alukan sebarang bentuk kerjasama dan sumbangan daripada semua pihak dalam membantu melaksanakan pelbagai inisiatif pemuliharaan hidupan liar.
Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr Xavier Jayakumar berkata pihaknya melalui Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) sentiasa memastikan usaha pemuliharaan hidupan liar dijalankan secara berterusan di samping mengharapkan sokongan daripada semua pihak.
Katanya, salah satu usaha ke arah pemuliharaan hidupan liar oleh Perhilitan adalah dengan penubuhan Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC) di Sungkai.
"NWRC merupakan sebuah pusat yang menempatkan hidupan liar yang diselamatkan dan yang dirampas dalam pelbagai operasi pengurusan hidupan liar dan penguatkuasaan oleh Perhilitan.
"Pusat ini akan menjalankan fungsinya berasaskan konsep 3R iaitu Rescue (Menyelamat), Rehabilitate (Rehabilitasi) dan Release (Pelepasan)," katanya dalam satu kenyataan di sini sempena perasmian NWRC pada Ahad.
Dr Xavier berkata pusat tersebut ditubuhkan selaras dengan peruntukan Akta Perdagangan Mengenai Spesies Terancam (Akta 686) dan merupakan salah satu obligasi Malaysia dalam Konvensyen Antarabangsa Mengenai Perdagangan Spesies Liar Flora dan Fauna Terancam.
Katanya, kos keseluruhan pembangunan NWRC yang terdiri daripada tiga fasa dianggarkan sebanyak kira-kira RM30.3 juta dan rawatan ke atas hidupan liar dijalankan oleh Pegawai Veterinar Perhilitan yang berpengalaman
"Hidupan liar yang telah pulih kemudiannya akan menjalani proses rehabilitasi untuk program pelepasan semula ke habitat yang sesuai.
"Sehingga kini terdapat 103 ekor hidupan liar daripada pelbagai spesies ditempatkan di NWRC terdiri daripada 55 ekor mamalia, 10 reptilia dan 38 ekor burung," katanya.
-- BERNAMA
#NWRC
#pemuliharaan hidupan liar
#Perhilitan
#Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan
#Sungkai
#Xavier Jayakumar