Kerajaan patut umum PKP lebih awal, rakyat boleh bersedia - Shafie Apdal

Astro Awani
Mei 11, 2021 20:34 MYT
Kerajaan sepatutnya membuat keputusan lebih awal memandangkan tarikh sambutan Aidilfitri sudah diketahui sekali gus memudahkan rakyat membuat persediaan.
KUALA LUMPUR: Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menyelar keputusan mengejut kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) iaitu tiga hari sebelum Hari Raya Aidilfitri.
Tegasnya, kerajaan sepatutnya membuat keputusan lebih awal memandangkan tarikh sambutan Aidilfitri sudah diketahui sekali gus memudahkan rakyat membuat persediaan.
"Masalahnya kita sedar bahawa hari raya kita sudah tahu awal. Sekurang-kurangnya kerajaan memaklumkan lebih awal tentang apa langkah yang harus diambil.
"Sepatutnya kerajaan sudah ambil maklum tentang perkara itu serta memaklumkan kepada msyarakat supaya kesediaan dan kesiapsiagaan termasuk pemain industri.
"Malah saya difahamkan, pemain industri juga tidak dimaklumkan dengan terperinci tentang langkah diambil kerajaan," katanya dalam sidang media secara dalam talian pada Selasa.
Melihat kepada situasi jangkitan COVID-19 di Sabah yang terkawal, Mohd Shafie melihat terdapat kebaikan dan keburukan sekiranya PKP dilaksanakan di negeri itu.
Katanya, ia akan membantu melandaikan keluk jangkitan COVID-19 dan menjamin kesihatan rakyat.
Manakala dari segi keburukan ia memberi kesan kepada ekonomi Sabah dan negara.
"Apa yang kita lihat PKP adalah jawapan terbaik. Bagaimanapun, perlu memaklumkan awal kepada rakyat .
"Di Sabah juga bila anda tanya saya sudah pasti jawapannya (PKP). Kita tidak boleh menganggap kadar jangkitan rendah di Sabah tidak perlu PKP. Kita perlu terus berwaspada," katanya.
Tambah Mohd Shafie, apa yang penting adalah memperhebatkan program vaksinasi COVID-19 di Sabah.
#PKP #Shafie Apdal #Warisan selar kerajaan #Pelaksanaan PKP #Sabah #Presiden Warisan
;