Kerajaan pastikan saluran manfaatkan peluang seiring IR4.0 - Gobind

Wan Syamsul Amly
Jun 28, 2019 12:50 MYT
Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo bersalaman dengan Ketua Pegawai Eksekutif Universiti Heriot- Watt, Prof Mushtak Al-Atabi selepas merasmikan Biasiswa Data Futures di Universiti terbabit hari ini. - Foto BERNAMA
Kerajaan sedar kepentingan menyediakan saluran untuk memanfaatkan peluang sosio-ekonomi yang datang dengan digitalisasi dan teknologi pintar seiring Revolusi Industri Keempat (IR4.0).
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berkata, ia platform memastikan pembangunan mampan dan mencapai kemakmuran ekonomi negara.
Jelasnya, sehingga kini, lebih daripada 700,000 pelajar sekolah rendah dan menengah menerima kesan digital termasuk program coding, robotik, pembangunan aplikasi dan analisa data.
"Memang kita lihat inisiatif sebegini sangat penting untuk bergerak di dunia digital. Kita semua tahu, dalam masa terdekat pekerjaan sedia ada mungkin diambil alih mesin dan sebagainya.
"Dalam masa sama, kita lihat pekerjaan baru yang tidak wujud pada masa dahulu akan wujud pada masa depan.
"Bagaimana kita akan bersiap sedia dalam bidang pekerjaan ini?" katanya semasa sidang media selepas merasmikan program 'Data Futures Forum' di Heriot-Watt University di sini, pada Jumaat.
Pada program sama, program biasiswa tiga tahun, Biasiswa Data Futures bernilai RM2.6 juta turut dilancarkan.
Dalam pada itu kata Gobind, dalam dunia kecerdasan buatan (AI) yang bergerak pantas kini, graduan perlu bersedia dengan cabaran untuk pekerjaan yang masih belum wujud.
Jelasnya, ia hanya boleh dilakukan dengan memberi tumpuan kepada keunikan manusia yang membezakannya dengan mesin.
#AI #digital #ekonomi #IR4 0 #kerajaan #pelajar #sekolah
;