Kerajaan pastikan harga sayur 'popular' munasabah menjelang Deepavali - Armizan

Khalis Khadir
Oktober 16, 2024 13:38 MYT
Datuk Armizan Mohd Ali berkata kerajaan akan memastikan bekalan sayur yang popular dalam kalangan pengguna mencukupi dengan kadar harga munasabah sempena Deepavali ini. - Gambar fail
SERDANG: Kerajaan akan memastikan bekalan sayur yang popular dalam kalangan pengguna mencukupi dengan kadar harga munasabah sempena Deepavali ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bagi mengelakkan potensi kenaikan harga barangan itu.
“Bukan semua sayur kita akan kawal harga, jadi kami akan teliti aspek penawaran dan bekalan sayuran tertentu supaya dapat mengelakkan pergerakan harga keterlaluan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Agroinvest 2024 Sempena Hari Inovasi Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), di sini, pada Rabu.
Sementara itu, beliau berkata kementeriannya akan mengumumkan barangan di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) sempena Deepavali dalam masa terdekat.
Pihaknya ketika ini dalam proses mengenal pasti jenis-jenis barangan yang patut disenaraikan dalam kategori barangan harga kawalan.
“Selepas persetujuan dengan pihak industri sudah diterima dan senarai telah disiapkan baru saya akan umumkan jenis-jenis barangan di bawah harga kawalan kepada umum,” ujarnya.
#Deepavali #Armizan Mohd Ali #harga sayur #SHMMP
;