Kerajaan pantau perkembangan MALBATT setiap hari - Adly
Bernama
Oktober 3, 2024 23:44 MYT
Oktober 3, 2024 23:44 MYT
ALOR GAJAH: Kerajaan sentiasa memantau perkembangan Pasukan Batalion Malaysia (MALBATT) 850-11 yang berada di selatan Lubnan setiap hari.
Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari berkata ia bagi memastikan keselamatan kesemua anggota menjadi keutamaan sepanjang masa walaupun masih tiada keputusan untuk membawa mereka pulang.
"Kita memang masih kekal di sana tetapi sebarang operasi telah diberhentikan demi keselamatan anggota pertahanan ... dari semasa ke semasa kita juga terima laporan dan perkembangan mengenai mereka.
"Setakat ini kita masih kekal kerana bernaung di bawah payung Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIFIL), jadi apa-apa keputusan (yang akan dibuat) kita akan lihat segala keperluan untuk mereka," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Terdahulu, beliau menyampaikan Cek Sumbangan Parlimen Alor Gajah di Balairaya Taman Sri Siantan, Durian Tunggal di sini.
Sejak 23 Sept lepas, tentera Israel melancarkan serangan udara intensif yang belum pernah berlaku ke atas Lubnan.
Dalam perkembangan lain, Adly yang juga Ahli Parlimen Alor Gajah berkata pihaknya menerima kira-kira 500 permohonan bagi menjalankan pelbagai program dan kerja baik pulih di Parlimen berkenaan.
"Setakat ini 470 permohonan telah kita salurkan bantuan menerusi peruntukan sebanyak RM1 juta yang diterima Parlimen Alor Gajah kepada pelbagai pihak termasuk institusi agama dan pendidikan selain penduduk memerlukan.
"Ini termasuk jumlah sebanyak RM120,000 pada program hari ini untuk melaksanakan pelbagai aktiviti," katanya.
-- BERNAMA