Kerajaan pantau banjir di Perlis dan Kedah - Najib

Bernama
September 17, 2015 22:21 MYT
Lebih 1,000 penduduk dari lapan buah kampong di Changlun, Kedah terjejas akibat banjir berikutan hujan lebat sejak dua hari lepas.
Kerajaan memantau keadaan banjir di Perlis dan Kedah, serta menghulurkan bantuan serta-merta kepada mereka yang terjejas di kedua-dua negeri itu.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kanak-kanak dan mereka yang berada di kawasan berisiko tinggi juga akan dipindahkan serta-merta.
"Saya ambil maklum mengenai keadaan di Kedah dan Perlis yang dilanda banjir kilat, dan berdoa semua di sana berada dalam keadaan selamat.
"Kerajaan akan memantau keadaan ini dan hulurkan bantuan dengan serta merta kepada mereka yang terjejas, terutamanya kanak-kanak dan mereka di kawasan berisiko tinggi yang perlu dipindahkan serta merta," katanya dalam status terbaru laman Facebook beliau malam ini.
Hujan lebat sejak tiga hari lepas menyebabkan banjir di beberapa kawasan di Perlis dan setakat ini, seramai 50 orang dari 12 keluarga telah dipindahkan ke pusat pemindahan.
Selain itu, lebih 1,000 penduduk dari lapan buah kampong di Changlun, Kedah terjejas akibat banjir berikutan hujan lebat sejak dua hari lepas.
#banjir #Kedah #kilat #Najib Tun Razak #Perlis
;