Kerajaan pandang serius pemilikan senjata api elak kejadian tidak diingini
Bernama
Disember 15, 2017 05:03 MYT
Disember 15, 2017 05:03 MYT
Kerajaan sentiasa memandang serius mengenai pemilikan senjata api terutamanya dalam kalangan mereka yang berusia bagi mengelak insiden tidak diingini.
Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata kerajaan mengenakan syarat ketat kepada setiap permohonan baharu atau pembaharuan pemilikan senjata api setiap tahun.
"Kerajaan sentiasa berhati-hati dan membuat kajian latar belakang ketat terhadap pemohon senjata api. Jaga senjata api ini sepatutnya dijaga macam anak sebab bahaya kalau tidak disimpan dengan baik," katanya kepada pemberita selepas menghadiri sambutan Maulidur Rasul Pulai 2017, di sini petang Jumaat.
Nur Jazlan yang juga Anggota Parlimen Pulai menegaskan kerajaan tidak membenarkan pemilikan lesen senjata api sewenang-wenangnya.
Menurut beliau, antara aspek yang diambil kira adalah pemohon perlu melalui ujian bagi memastikan tahap kecekapan dan kesihatan berada dalam keadaan baik.
"Syarat-syarat pemilikan senjata api ini memang ketat. Setiap tahun, kerajaan memang mewajibkan pemilik ini jalani ujian menembak.
"Ini adalah untuk memastikan setiap pemilik layak menggunakan senjata tersebut, khususnya yang berusia berada dalam kesihatan yang baik, tidak rabun, tidak mengalami masalah mental atau sebagainya sebelum lesen mereka disambung," katanya.
Beliau dalam masa yang sama turut memberi amaran kepada semua pemilik senjata api supaya bertanggungjawab terhadap senjata api mereka dan tidak cuai.
Nur Jazlan berkata demikian mengulas mengenai kejadian yang menimpa kanak-kanak berusia lapan tahun, Puteri Intan Sharini Mohd Hishamuddin yang maut tertembak senapang patah di Kampung Seberang Paya Empa, Mukim Derang, Pokok Sena, Kedah, Rabu lepas.
Polis membuka kertas siasatan berhubung kejadian itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh selepas melihat ada unsur kecuaian selain Akta Senjata Api 1960 kerana menggunakan senapang tanpa lesen.
Datuk dan bapa saudara kepada kanak-kanak perempuan itu yang masing-masing berusia 50 dan 15 tahun direman tujuh hari bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Difahamkan senapang patah tersebut milik moyang remaja lelaki itu yang berusia 80 tahun dan tinggal di kawasan berhampiran namun dipinjam oleh bapanya bagi digunakan untuk menembak tupai.
-- BERNAMA
#cuai
#Datuk Nur Jazlan Mohamed
#Kanak-kanak
#kesihatan
#lelaki
#maut
#Nur Jazlan
#pemilikan senjata api
#polis
#remaja
#senjata api
#siasatan
#Timbalan Menteri Dalam Negeri