Kerajaan pandang serius laporan tentera Sulu rancang serang Sabah

Ridauddin Daud
Disember 9, 2021 17:01 MYT
Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz beri jaminan kerajaan pandang serius dakwaan 600 anggota Tentera Diraja Sulu (Royal Sulu Army, RSA) dilaporkan bersedia untuk melancarkan operasi menawan Sabah.
KUALA LUMPUR: Kerajaan memandang serius laporan berita mendakwa seramai 600 anggota Tentera Diraja Sulu (Royal Sulu Army, RSA) dilaporkan bersedia untuk melancarkan operasi menawan Sabah.
Jaminan itu disuarakan Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz di Dewan Rakyat pada Khamis selepas isu tersebut dibangkitkan M Karupaiya (PH - Padang Serai).
“Saya pun ada terbaca tadi. Apa pun benda ini tidak lagi dapat disahihkan berita tersebut... jadi saya tidak dapat memberi ulasan terhadap apa yang dibangkitkan.
“Tapi saya percaya di pihak kerajaan, sudah tentu apa sahaja maklumat, berita, akan dipadang serius terutama apa yang dibangkitkan Yang Berhormat akan dipandang secara serius,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 peringkat jawatankuasa Kementerian Pertahanan di Dewan Rakyat pada Khamis.
Karupaiya kemudian bangun sekali lagi dan meminta kerajaan supaya behati-hati.
“Walaubagaimanapun kita berhati-hatilah kerana kita tidak mahu tragedi yang berlaku semasa dulu,” katanya.
“Saya tahu, kita tak mahu tragedi Lahad Datu berlaku sekali lagi,” balas Ikmal Hisham.
South China Morning Post melaporkan RSA merancang operasi untuk menyerang Sabah selepas beberapa siri pertemuan rahsia antara 19 orang datuk bandar dari selatan Filipina.
“Seramai 19 datuk bandar telah bersetuju untuk merekrut sekurang-kurangnya 600 orang anggota bersenjata bagi melaksanakan misi tersebut.
“Kos peluru dan logistik yang dianggarkan sebanyak AS$10,000 telah ditanggung oleh pegawai tinggi kerajaan,” menurut laporan itu.
#serang Sabah #tentera Sulu #Kementerian Pertahanan #Lahad Datu
;