Kerajaan pandang serius isu salah guna kelayakan akademik

Bernama
Oktober 18, 2016 00:05 MYT
Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh berkata garis panduan berkenaan bukan sahaja untuk pengajian profesional seperti doktor falsafah, tetapi juga akan merangkumi ijazah dan sarjana.
Kerajaan memandang serius isu penyalahgunaan kelayakan akademik dan akan mengeluarkan garis panduan mengenainya yang kini dalam proses perbincangan.
Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh berkata garis panduan berkenaan bukan sahaja untuk pengajian profesional seperti doktor falsafah, tetapi juga akan merangkumi ijazah dan sarjana.
"Pihak kementerian baru mesyuarat semalam, beri kami sedikit masa, saya cakap bagi kami sebulan, kami akan keluarkan garis panduan.
Kita akan lihat keseluruhannya dan akan lihat cara mana yang berkesan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sidang Kemuncak Pendidikan Tinggi Sejagat Arab-Asian (AAGHES) 2016, di sini hari ini.
Idris berkata pihak kementerian sedang berbincang dengan Majlis Professor Negara dan pihak universiti bagi mencari cara yang terbaik menangani isu ini.
Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Universiti-universiti Arab (AArU), Sultan Abu Orabi berkata wakil-wakil daripada universiti-universiti di Arab datang ke Malaysia untuk berbincang mengenai kerjasama akademik antara mereka dengan universiti-universiti di negara ini.
"Kami datang ke sini untuk belajar daripada anda dan untuk bertukar pengetahuan dan mengadakan kerjasama yang lebih dalam akreditasi, jaminan kualiti dan pergerakan pelajar daripada kedua-dua pihak.
Kami berharap lebih banyak lagi pertukaran anggota fakulti dan staf untuk kedua-dua pihak," katanya.
Seminar tiga hari yang bermula semalam menyaksikan penyertaan seramai 60 presiden, naib canselor dan pengurusan kanan universiti dari negara Asia dan Arab.
-- BERNAMA
#garis panduan #idris haron #kelayakan akademik #penyalahgunaan
;