Kerajaan Pahang lupus hutang 58 peserta Rancangan Tanah Pinggir
Norfarhiza Mohd Atar
Februari 27, 2023 18:54 MYT
Februari 27, 2023 18:54 MYT
KUANTAN: Kerajaan Pahang melalui Mesyuarat Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang (PKPP) bersetuju melupuskan hutang 58 peserta Rancangan Tanah Pinggir (RTP) di negeri ini berjumlah RM32,790.15.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pelupusan tersebut diambil kerana kebanyakan peserta yang masih mempunyai hutang tertunggak tidak dapat dikesan disebabkan ketiadaan alamat tempat tinggal yang lengkap, berusia hampir satu abad malahan ada yang telah meninggal dunia.
"Sebagai sebuah Kerajaan Negeri yang prihatin serta cakna terhadap nasib rakyat, keputusan ini diambil untuk kebaikan bersama.
"Saya berharap dengan langkah yang diambil oleh Kerajaan Negeri ia akan memberi kelegaan kepada peserta dan juga waris peserta," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.
RTP mula dibuka pada tahun 1961 hingga 1967 oleh Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Pahang dimana pembangunan RTP ini berasaskan kepada konsep pembukaan tanah secara berkelompok di bawah Akta Tanah GSA (Kawasan Penempatan Berkelompok) 1960 dengan diusahakan tanaman pokok getah.
Sebanyak 131 RTP telah dibuka di seluruh negeri ini kecuali di Cameron Highlands yang mana setiap peserta yang terpilih pada ketika itu telah ditawarkan lot tanah seluas 2.83 hektar.
Setiap peserta juga dikenakan bayaran balik di antara RM3,000 hingga RM3,500 dengan tempoh bayaran balik selama 15 tahun.