Kerajaan P. Pinang sambut baik cadangan bazar Ramadan nasi kandar

Bernama
Mei 6, 2019 06:01 MYT
Satu bazar Ramadan yang hanya menempatkan menu nasi kandar mungkin bakal menjadi realiti di Pulau Pinang. - BERNAMA/Fail
Kerajaan Negeri Pulau Pinang menyambut baik cadangan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Liga Muslim Pulau Pinang untuk menvariasikan Bazar Ramadan di Lebuh Queen di sini dengan Bazar Ramadan Nasi Kandar yang mempamerkan juadah popular negeri ini.
Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata, beliau akan menimbang dan meneliti perkara yang disuarakan oleh pertubuhan itu yang dilihat sebagai usaha menarik pelancong ke negeri ini.
"Kita ucapkan tahniah kepada Liga Muslim Pulau Pinang atas cadangan mereka yang ingin menjenamakan semula dan mahu pentaskan bazar Ramadan seperti Penang Food Festival dan ia salah satu usaha untuk terus menarik pelancong ke negeri ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Bazar Ramadan Liga Muslim 2019 di Lebuh Queen pada Isnin.
Pada majlis itu, Presiden Liga Muslim Pulau Pinang, Datuk Haja Najmudeen Kader menyuarakan hasrat untuk mempelbagaikan ruang di bahagian sebelah kanan jalan itu untuk ditambah dengan sebuah lagi bazar Ramadan dengan menempatkan menu nasi kandar.
Najmudeen berkata lokasi Lebuh Queen merupakan destinasi yang terkenal dengan deretan nasi kandar dan atas faktor itu pihaknya berhasrat untuk membina sebuah lagi bazar yang hanya menjual menu nasi kandar di samping kuih-kuih tradisional negeri ini.
Terdahulu, Chow dalam ucapannya berkata bazar Ramadan anjuran Liga Muslim itu mampu menjadi tumpuan orang ramai termasuk pelancong asing yang melalui kawasan itu kerana lokasinya yang strategik serta mudah disinggahi orang ramai sepanjang bulan Ramadan ini.
"Seperti yang kita maklum, bulan Ramadan bukan sahaja disambut dan diraikan oleh orang Islama, tetapi juga orang bukan Islam termasuk pelancong-pelancong asing. Ini terbukti apabila kita dapati ramai orang bukan Islam termasuk pelancong asing turut mengunjungi bazar-bazar Ramadan," katanya.
Chow berkata bulan Ramadan yang diraikan setiap tahun merupakan tunggak penting dalam usaha mengeratkan hubungan silaturrahim dan perpaduan di kalangan rakyat berbilang kaum dan agama khususnya di Pulau Pinang yang secara tidak langsung boleh mengurangkan sensitiviti kaum dan agama.
"Kita patut bersyukur kerana kita berpeluang untuk bersama-sama merasai nikmat kehidupan yang aman dan tenteram dalam sebuah negara yang mempunyai kepelbagaian agama, bangsa, dan bahasa," katanya. -- Bernama
#Bazar Ramadan Nasi Kandar #Chow Kon Yeow #jendela ramadan #Kerajaan Negeri Pulau Pinang #Lebuh Queen #Liga Muslim Pulau Pinang #Penang Food Festival #ramadan 1440 #ramadanawani1440
;