Kerajaan P. Pinang digesa henti jual tanah negeri kepada pemaju
Bernama
November 19, 2016 15:30 MYT
November 19, 2016 15:30 MYT
Tindakan kerajaan negeri pimpinan DAP menjual tanah secara berleluasa boleh menyebabkan tanah yang diduduki penduduk di negeri ini tergadai, kata ketua UMNO Bahagian Balik Pulau Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Kesihatan berkata sejak mengambil alih pentadbiran negeri pada 2008, kerajaan negeri telah menjual sejumlah besar tanah miliknya.
Dr Hilmi berkata tindakan itu langsung tidak menjaga kepentingan rakyat yang akan terbeban apabila sesuatu projek pembangunan yang dilaksanakan dijual dengan harga yang di luar kemampuan mereka.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas penjualan 49 peratus tanah hak milik Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) kepada anak syarikat Ideal Properties, Q Island Development.
Secara tidak langsung, kerajaan negeri telah hilang sepenuhnya pemilikan terhadap Pulau Jerejak berikutan tindakan itu, katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Kemas4u Semarak Desa di sini hari ini.
Dr Hilmi yang juga bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang berkata kerajaan negeri sepatutnya membangunkan sendiri kawasan tanah miliknya atau bekerjasama dengan pihak swasta bagi menjana ekonomi negeri serta mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan.
"Dengan mengekalkan hak milik tanah, kerajaan negeri boleh mengawal harga tanah supaya tidak dinaikkan di samping penduduk tempatan boleh menikmati manfaat yang berterusan," katanya.
Menurutnya, harga tanah yang telah dijual kepada para pemaju hartanah itu akan naik akibat faktor spekulasi dan mereka kemudiannya akan menjual projek hartanah ini dengan harga yang mahal.
"Kerajaan Barisan Nasional dulu tidak membuat demikian kerana ingin menjaga masa depan penduduk negeri supaya anak-anak, cucu-cucu mereka masih dapat memiliki rumah sendiri. Dalam hal ini, kerajaan negeri sekarang nampaknya tidak proaktif dan tidak mesra rakyat," katanya.
Katanya semasa kerajaan Barisan Nasional mentadbir negeri ini, kerajaan negeri memiliki lebih 2,000 hektar tanah namun sekarang sudah hampir habis dijual kepada pemaju untuk membangunkan pelbagai projek.
UDA Holdings, dalam satu kenyataan pada 8 Nov, mengesahkan mengadakan usaha sama dengan Q Island Development dalam projek itu, yang dijangka siap dalam masa lapan hingga 10 tahun. Jumlah kos tidak ditentukan.
Menurut UDA, pelan pembangunan semula pulau itu telah diluluskan kerajaan negeri. Empat hotel bertaraf lima bintang, 1,200 unit kediaman, sebuah marina, sebuah taman tema dan laluan basikal sepanjang 11.5km akan dibina di pulau itu bagi menggalakkan aktiviti pelancongan di Pulau Pinang. -- Bernama