Kerajaan P. Pinang dicadang bina kolam takungan air atasi kekerapan banjir kilat

Umavathi Ramayah
November 14, 2022 18:22 MYT
Melihat pada rekod laporan banjir kilat, kata Frankie Marcus Ata (gambar kecil), berlaku pengulangan yang kerap di kawasan sama. - Bernama
GEORGE TOWN: Kerajaan Pulau Pinang dicadangkan untuk membina kolam takungan air sebagai penyelesaian kepada kejadian banjir kilat berulang di negeri itu.
Menurut Pensyarah Kanan, Pusat Kajian Pembangunan Sosial dan Persekitaran, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Frankie Marcus Ata, dengan adanya kolam takungan itu, lebihan air dari Lembangan Sungai Junjung, Seberang Perai Tengah (SPT) akan dilencongkan ke dalam kolam tadahan sebelum dilepaskan ke sistem saliran utama.
Melihat pada rekod laporan banjir kilat, katanya, berlaku pengulangan yang kerap di kawasan sama.
"Sudah pasti kerajaan negeri perlu melihat pada cara atau langkah-langkah yang sesuai untuk membuat mitigasi banjir.
"Kita pernah membuat kajian pada tahun 2020, melihat pada rekod semasa, kawasan yang dinaiki banjir kilat adalah kawasan yang sama iaitu di Taman Saujana Jaya, Taman Impian Ria, Taman Saujana Indah, Taman Impian, Taman Sentul dan Taman Pinang, melibatkan kawasan lembangan yang sama, iaitu Lembangan Sungai Junjung.
"Berdasarkan hasil kajian, kami dapati jumlah air yang dihasilkan oleh lembangan tersebut adalah terlalu tinggi, kesannya apabila hujan terlalu tinggi maka akan berlaku luahan yang menyebabkan banjir kilat berlaku dengan mudah.
"Justeru, kajian bersama Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) mencadangkan kerajaan Pulau Pinang supaya membina kolam takungan air bagi melencongan lebihan air di Lembangan Sungai Junjung," katanya ketika dihubungi Astro AWANI di sini, pada Isnin.
Mengulas lanjut, Frankie memberitahu, melihat pada kejadian banjir kilat di beberapa negeri lain seperti Kuala Lumpur, Selangor dan Melaka, selepas kolam takungan air dibina, kekerapan banjir kilat semakin menurun.
"Kalau kita lihat di negeri-negeri lain yang kerap berlakunya banjit kilat, walaupun masih mengalami (banjir kilat), namun jumlahnya semakin berkurangan. Apa yang berlaku di negeri-negeri lain adalah mereka membuat kolam takungan air," katanya lagi.
Kolam takungan air itu bukan sekadar berfungsi mengurangkan risiko berlakunya banjir kilat, sebaliknya kata beliau, ia juga boleh dijadikan sebagai kolam takungan air, sumber air, rekreasi serta untuk kegunaan pertanian.
#banjir kilat #kerajaan pulau pinang #Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia #Lembangan Sungai Junjung
;