Kerajaan negeri teliti tangguh naik taraf menara condong tahun depan - Exco
Bernama
Mei 4, 2024 04:30 MYT
Mei 4, 2024 04:30 MYT
KUALA KANGSAR: Kerajaan negeri berkemungkinan menangguhkan kerja-kerja menaik taraf dan baik pulih ikon pelancongan Menara Condong Teluk Intan yang sepatutnya bermula tahun ini ke awal tahun depan.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak Loh Sze Yee berkata perkara itu masih pada peringkat perbincangan selain cadangan penangguhan tersebut disuarakan oleh penggiat industri pelancongan di kawasan tersebut bagi memberi laluan kepada Tahun Melawat Perak 2024.
"Di peringkat awal kita maklumkan akan berlangsung kerja naik taraf itu hujung tahun ini tetapi ada permintaan daripada khalayak ramai terutama penggiat industri pelancongan untuk tangguhkan terlebih dahulu bagi memberi laluan kepada Tahun Melawat Perak 2024.
"Kertas kerja sudah ada begitu juga peruntukan yang disediakan oleh kerajaan untuk kerja naik taraf ini. Cuma kita masih pertimbangkan cadangan itu bersama beberapa perkara lain yang melibatkan soal keselamatan dan sebagainya," katanya ketika ditemui selepas meninjau Kolam Renang Majlis Daerah Kuala Kangsar di sini, pada Sabtu.
Pada 5 Januari lepas, Loh dalam kenyataan menegaskan projek bernilai RM4 juta yang diperuntukkan untuk kerja naik taraf menara berkenaan akan bermula hujung tahun ini.
Beliau dalam kenyataan sama turut memaklumkan peruntukan berkenaan dibiayai oleh sepenuhnya oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
Sementara itu Loh berkata buat masa ini menara tersebut masih dibuka kepada pengunjung selain tiada tarikh khusus ditetapkan bagi penutupan tersebut.
"Cuma kita jangkakan kerja-kerja naik taraf mungkin mengambil masa setahun dan melibatkan kerja-kerja penstrukturan menara, pendawaian elektrik, penyelenggaraan aksesori dan sebagainya," katanya.
-- BERNAMA