Kerajaan negeri tanggung urusan lima pelajar USAS rentung dalam nahas
Abd Razak Mohd Ali
Mei 12, 2022 13:01 MYT
Mei 12, 2022 13:01 MYT
KUALA KANGSAR: Kerajaan negeri Perak akan menanggung segala urusan menguruskan jenazah lima penuntut Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) yang rentung dalam nahas di Kilometer di Kilometer 245.2 Lebuhraya Utara Selatan, arah utara awal pagi tadi.
Naib Canselor USAS, Tan Sri Prof Dr Nordin Kardi berkata, pihaknya juga akan menjaga kebajikan keluarga mangsa, termasuk dari segi penginapan di samping keperluan lain.
"Pagi ini kami berasa begitu sedih sekali kerana lima orang pelajar kami telah meninggal dunia, terlibat dalam kemalangan jalan raya pagi ini dan ibu bapa semua telah dihubungi.
"Namun demikian kami belum dapat memastikan nama-nama secara khusus sehingga dapat disahkan oleh pihak hospital, oleh forensik. Jadi insyaAllah kami akan maklumkan dari semasa ke semasa apabila kami telah mendapat pengesahan," katanya.
Beliau ditemui di unit forensik Hospital Kuala Kangsar pada Khamis.
Difahamkan lima mangsa dikenali sebagai pemandu Muhammad Nasrun Aidol Munir Akbar, 22 dari Kubu Bharu, Selangor Ahmad Naim Najmi Ahmad Hafizan, 21, dari Cukai, Terengganu; Iqbal Hasnun Halimi, 23, dari Senai, Johor; Muhammad Nabil Haikal Muhammad Fariz, 19, dari Batu Caves Selangor dan Ahmad Akmal Ahmad Mokhlis, 20, dari Parit Buntar Perak.
Kesemua mereka baru kembali dari bercuti Hari Raya Aidilfitri dan dijadualkan menduduki peperiksaan tiga minggu lagi.
Kereta membawa lima mangsa yang rentung terbabit dipercayai dirempuh dari belakang sebelum terbakar.