Kerajaan negeri sudah berlembut, beri tempoh setahun - Mohd Amar

Vivi Sumanti
Mac 13, 2018 11:48 MYT
Sebahagian peniaga yang berdegil tidak mahu berpindah ke lokasi baharu. - Foto Astro AWANI/Vivi Sumanti
Kerajaan Pas Kelantan sudah berlembut dan memberi tempoh selama setahun untuk para peniaga pasar Pasir Puteh untuk berpindah ke tapak baharu iaitu di Pasar Siti Hajar.
Namun, menurut Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, sehingga tarikh ini, sebahagian peniaga masih enggan berpindah dengan pelbagai alasan selain memfailkan perintah injuksi di Mahkamah Kota Bharu.
Katanya, walaupun permohonan mereka sudah ditolak di mahkamah, peniaga berkenaan masih lagi degil dan enggan berpindah ke tempat baharu hingga memaksa kerajaan negeri tiada pilihan selain merobohkan pasar lama itu.
“Kerajaan dah buat pasar baharu lebih bersih dan sudah setahun bincang suruh pindah, peniaga bawa kes ke mahkamah, mahkamah tolak dah, lagi pun pasar lama tu kerajaan bina lepas tu pasar baru pun kerajaan juga bina, bukan milik peniaga itu, apa masalahnya dia tak mahu pindah” katanya ketika menyampaikan ceramah di Kampung Sering malam tadi.
Mohd Amar yang juga Naib Presiden Pas, mendakwa sebahagian dari peniaga sudah berpindah tinggal sebahagian lagi peniaga yang dipercayai penyokong UMNO yang bertindak menentang tindakan kerajaan negeri.
“Mereka kata kerajaan kita zalim, mereka jadikan sebagai isu politik dekat pilihan raya sedangkan semasa era Menteri Besar Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pernah mengarahkan untuk menangkap tiga orang yang menceroboh tanah kerajaan secara haram,” katanya.
Mohd Amar berkata demikian sebagai memberi reaksi insiden kekcohan dan ketegangan yang berlaku semalam melibatkan lebih 300 peniaga yang menghalang operasi merobohkan pasar lama oleh anggota penguatkuasa Majlis Daerah Pasir Puteh, MDPP.
Operasi merobohkan pasar berkenaan terpaksa ditangguhkan kerana situasi tegang tersebut yang memaksa sepasukan polis campur tangan untuk meredakan keadaan.
#Datuk Mohd Amar Nik Abdullah #Kelantan #Kota Bharu #Mahkamah Kota Bharu #Pasar Pasir puteh #Pasar Siti Hajar #Pasir Puteh #roboh
;