Kerajaan Negeri Sembilan mohon pembinaan hospital baharu di Seremban
Bernama
Januari 22, 2025 19:32 MYT
Januari 22, 2025 19:32 MYT
SEREMBAN: Kerajaan negeri telah memohon kepada Kementerian Kesihatan (KKM) untuk mempertimbangkan pembinaan sebuah hospital baharu berikutan kesesakan di Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) di sini.
Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata hasrat itu juga telah dinyatakan semasa persidangan Dewan Rakyat, selain memaklumkan sendiri kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sewaktu program KKM di Port Dickson tahun lepas.
"Saya telah berhubung dengan Menteri Kesihatan (Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad) memaklumkan apa yang berlaku hari ini khususnya di wad kecemasan HTJ, kita juga sedia maklum kerja naik taraf sedang dijalankan di wad kecemasan dan wad biasa.
"Ada beberapa perkara juga dipindahkan ke Hospital Rembau, kalau ada bedah siasat, itu dilakukan di hospital berkenaan. Ini antara inisiatif diambil bagi mengurangkan kesesakan di HTJ," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat exco di Wisma Negeri di sini hari ini.
Sementara itu, Aminuddin berkata dengan beroperasinya Hospital Rembau dan pertambahan blok bangunan di Hospital Kuala Pilah serta Port Dickson tidak lama lagi diharap dapat mengurangkan kesesakan di HTJ.
"Hospital Rembau telah pun siap dibina, Hospital Kuala Pilah pula bangunan tambahannya juga sudah siap dan telah dapat kelulusan pengisian perjawatan dan di situ ada klinik pakar," katanya.
Beliau berkata Hospital Port Dickson juga dalam pembinaan dan akan dilengkapi kemudahan yang lebih baik, namun sebuah hospital baharu di Seremban tetap diperlukan.
-- BERNAMA