Kerajaan negeri Selangor tubuh pasukan bertindak COVID-19

Najmi Syahiran Mamat
Mac 12, 2020 17:21 MYT
Kerajaan negeri Selangor turut mengambil keputusan untuk membatalkan beberapa program awam yang bersifat kritikal termasuk program yang terdekat iaitu Selangor Job Fair 2020. - Gambar fail
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari hari ini memaklumkan bahawa Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) meluluskan dengan serta merta penubuhan pasukan khas atau Task Force Covid-19.
Ia bertujuan memantau dengan lebih dekat sebarang perkembangan wabak itu dari masa ke masa.
Amirudin berkata pasukan khas itu akan dipengerusikan oleh bekas Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad dan dibantu oleh Dr Siti Mariah Mahmud yang menjadi Ahli Teras mewakili Kerajaan Negeri.
“Ahli Task Force dibarisi oleh Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, Datuk Dr Christopher Lee Kwok Choong, Datuk Prof. Dr. Adeeba Kamarulzaman, Datuk Dr. Fadzilah Kamaludin, Prof. Dr. Abdul Rashid Abdul Rahman dan Dr.Yap Wei Aun,” menurut kenyataan itu pada Khamis.
Sementara itu, kerajaan negeri Selangor turut mengambil keputusan untuk membatalkan beberapa program awam yang bersifat kritikal termasuk program yang terdekat iaitu Selangor Job Fair 2020.
“Sekiranya program yang ingin dianjurkan tersebut kritikal dan tidak dapat dielakkan, maka langkah-langkah pencegahan yang lain akan dikuatkuasakan sewaktu program berlangsung,” katanya.
Katanya, kerajaan negeri mengambil berat akan kemaslahatan umum dan akan melaksanakan segala langkah yang perlu bagi membendung merebaknya virus ini.
Tambahnya, langkah-langkah pencegahan seperti yang digariskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia seperti pemakaian tutup muka dan pengunaan pembasmi kuman wajar dipatuhi bagi mengelakkan berlaku jangkitan.
#Amirudin Shari #coronavirus #COVID19 #Majlis Tindakan Ekonomi Selangor #Menteri Besar Selangor #Selangor #Task Force COVID-19
;