Kerajaan negeri salur bantuan kepada mangsa kebakaran Hospital Sultanah Aminah - Exco

Bernama
Oktober 25, 2016 14:02 MYT
Enam pesakit dilaporkan maut dan seorang lagi terselamat dalam kebakaran itu yang berlaku di tingkat dua wad Unit Rawatan Rapi HSA pada 8.56 pagi. - Foto Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor
Kerajaan negeri Johor akan menghulurkan bantuan kepada keluarga mangsa yang terlibat dalam kebakaran Hospital Sultanah Aminah (HSA) pagi tadi.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri, Datuk Ayub Rahmat berkata kerajaan negeri turut mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan merasa terharu dengan kejadian tersebut.
"Kita akan menyalurkan bantuan yang bersesuaian kepada keluarga mangsa dalam masa terdekat," katanya kepada pemberita di sini.
LAPOR LANGSUNG: Kebakaran Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru
BACA: Wad ICU Hospital Sultanah Aminah terbakar, 6 meninggal dunia
Beliau sedang menghadiri Persidangan Antarabangsa Rangkaian Penyelidikan Karbon Rendah Asia.
Enam pesakit dilaporkan maut dan seorang lagi terselamat dalam kebakaran itu yang berlaku di tingkat dua wad Unit Rawatan Rapi HSA pada 8.56 pagi.
Sementara itu Ayub berkata pihaknya mengalu-alukan hospital swasta yang sedia menghulurkan bantuan bagi penempatan sementara pesakit hospital tersebut yang perlu dipindahkan segera.
"Buat masa ini kita lebih memberi tumpuan kepada usaha menyelamatkan mangsa dan punca kebakaran masih belum dikenal pasti oleh pihak bomba," katanya. -- BERNAMA
#Ayub Rahmat #Exco #Hospital Sultanah Aminah #hospital terbakar #ICU #unit rawatan rapi #Unit Rawatan Rapi HSA
;