Kerajaan Negeri Sabah tidak pilih bulu

Ruzaini Zulkepli
Julai 28, 2018 03:13 MYT
Jaujan yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah berkata, pengangkutan awam di daerah-daerah terbabit harus menjadi keutamaan dalam usaha menambah baik prasarana semasa. - Foto Astro AWANI
Kerajaan Negeri Sabah tidak bersikap pilih bulu dalam menambah baik prasarana pembangunan di daerah yang 'dikemudi' pembangkang di negeri ini.
Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Jaujan Sambakong berkata, ia bukanlah menjadi masalah memandangkan kepentingan rakyat harus diutamakan dalam membangunkan sesuatu daerah itu.
"Kalau kita menjurus kepada kepentingan rakyat, pihak kerajaan atau pembangkang perlu bersama membangunkan daerah ini.
"Sekiranya daerah ini dijaga baik, semua rakyat termasuk wakil rakyatnya di sini boleh senang hati," katanya ketika dalam sidang media selepas mengadakan Lawatan Kerja Ke Majlis Daerah Beaufort dan Sipitang.
Untuk rekod, pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Beaufort yang mempunyai satu kerusi parlimen dan dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dimenangi oleh pembangkang manakala di Sipitang pula, dua daripada tiga kerusi termasuk parlimen turut dimenangi oleh pembangkang.
Sementara itu, Jaujan yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah berkata, pengangkutan awam di daerah-daerah terbabit harus menjadi keutamaan dalam usaha menambah baik prasarana semasa.
"Pengangkutan awam sebagai contohnya, mempunyai keperluan untuk diwujudkan dan kerajaan tidak mempunyai masalah untuk mengambil perhatian perkara ini.
"Terminal bas pula sekiranya terdesak, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mempunyai sebidang tanah dan wajar untuk dibangunkan," katanya.
#jaujan sambakong #kerajaan negeri Sabah #lawatan kerja #pembangkang #pembangunan #pilih bulu #prasarana #Sabah #Sipitang #Timbalan Ketua Menteri