Kerajaan negeri Pulau Pinang pasang AED bantu selamatkan mangsa serangan jantung
Astro Awani
Februari 20, 2016 17:25 MYT
Februari 20, 2016 17:25 MYT
Kerajaan Pulau Pinang akan memasang 10 unit peranti "Automated External Defibrillator" atau AED di lokasi terpilih di negeri itu bagi membantu mangsa serangan jantung.
Sebagai permulaan, alat itu akan di pasang secara berperingkat di 10 lokasi awam di bawah inisiatif program 'Penang Heart Safe'.
Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata langkah terbaik bagi membantu menyelamatkan nyawa serangan jantung adalah melalui bantuan pernafasan, CPR dan AED.
"Kita berharap bahawa dengan alat ini, ia dapat selamatkan nyawa, kalau dapat selamatkan satu nyawa pun berbaloi. Jadi kerajaan telah membelanjakan RM41,00 untuk membeli lima dan selebihnya akan diderma tetapi kita akan pasang dan peruntukkan perbelanjaan untuk memberi latihan yang akan melibatkan lebih banyak kos."
"Langkah ini adalah selaras usaha kerajaan menjadikan Pulau Pinang negeri bertaraf antarabangsa dan pintar. Ini bermaksud aspek negeri yang bersih dan hijau, sihat serta selamat. Ini adalah sebahagian daripada rakyat sihat dan selamat sekirnya mangsa serangan sakit jantung dapat diselamatkan," katanya selepas majlis pelancaran alat AED bersempena program Penang Heart Safe di Taman Bandaraya Pulau Pinang di sini.
Antara lokasi yang telah dikenal pasti untuk pemasangan AED termasuk Taman Botani, Persiaran Gurney, Persiaran Padang Kota Lama, Ibu Pejabat Majlis Perbandaran Seberang Perai dan dua kompleks sukan di Jalan Betik, Seberang Jaya Dan Bertam.
Kerajaan negeri juga kata Guan Eng akan terus meningkatkan program pendidikan dan latihan berhubung rawatan kecemasan teknikal penggunaan AED kepada umum dari semasa ke semasa.
#Kerajaan Pulau Pinang akan memasang 10 unit peranti "Automated External Defibrillator" atau AED di lokasi terpilih di negeri itu bagi membantu mangsa serangan jantung
#Penang Heart Safe