Kerajaan Negeri Pulau Pinang batalkan hasrat beli vaksin COVID-19 - Ketua Menteri

Dewi Nur Harasha Alias
Jun 7, 2021 16:22 MYT
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow (kanan) membuat lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Setia Spice Arena, Bayan Lepas hari ini. - Foto BERNAMA
GEORGE TOWN: Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak akan meneruskan cadangan untuk membeli sendiri vaksin COVID-19 bagi keperluan penduduk di negeri itu.
Ia berikutan Kerajaan Pusat telah memberi jaminan akan menambah bekalan vaksin sekurang-kurangnya setengah juta dos lagi untuk Pulau Pinang dalam masa terdekat.
Malah Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin ketika lawatan ke negeri itu baru-baru ini turut memberi jaminan sasaran pemberian vaksin kepada penduduk Pulau Pinang dapat dicapai menerusi program PICK.
"Bekalan (vaksin) sudah tidak menjadi isu, maka bagi pihak Kerajaan Negeri kita berpendapat ini (bekalan) bukan satu isu lagi, dan kita bergantung kepada Pusat untuk (bekalan) vaksin mencukupi untuk kita mencapai matlamat iaitu habis divaksin bulan Oktober tahun ini," katanya di sini hari ini.
Vaksin COVID-19 | Kerajaan Pulau Pinang batal hasrat beli vaksin sendiri
Kon Yoew berkata demikian selepas mengadakan lawatan di Pusat Operasi Pemberian Vaksin (PPV) Mega di Spice Arena, Bayan Baru pada Isnin.
Turut hadir Penasihat Khas kepada Perdana Menteri mengenai Kesihatan Awam, Tan Sri Dr Jemilah Mahmood.
Sebelum ini, timbul kontroversi apabila Kerajaan Negeri mendakwa Kerajaan Pusat tidak meluluskan derma dua juta dos vaksin COVID-19 oleh sebuah syarikat swasta.
Bagaimanapun, Khairy menafikan perkara tersebut dan berkata tawaran tersebut adalah palsu.
Mengulas PPV di Spice Arena, Kon Yeow berkata, sebagai permulaan pada hari ini, PPV tersebut akan memberikan suntikan vaksin kepada 1,000 penduduk sehari serta 3,000 orang pada hari bekerja dan 2,000 orang pada hujung minggu.
Selain PPV awam, sebanyak enam buah hospital swasta turut dijadikan pusat pemberian vaksin bermula hari ini dan 14 Jun ini dengan kapasiti antara 50 hingga 200 penduduk sehari.
Dalam pada itu, Kon Yeow berkata, dengan tambahan vaksin yang akan diterima nanti, pihaknya mensasarkan untuk memberikan vaksin kepada antara 15,000 hingga 20,000 penduduk sehari berbanding antara 10,000 hingga 15,000 sehari seperti ditetapkan ketika ini.
#vaksin #COVID-19 #suntikan #Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan #Pusat Pemberian Vaksin #PPV #Khairy Jamaluddin #Ketua Menteri Pulau Pinang #Chow Kon Yeow
;