Kerajaan negeri, pihak berkuasa keselamatan pantau SOP bazar Ramadan
Bernama
April 16, 2021 04:02 MYT
April 16, 2021 04:02 MYT
JASIN: Kerajaan negeri akan meminta kerjasama daripada pihak berkuasa keselamatan seperti polis dan askar, bagi menempatkan anggota bertugas di 70 lokasi pasar dan bazar Ramadan seluruh negeri ini.
Ketua Menteri Datuk Sulaiman Md Ali berkata, ia bagi memastikan para pengunjung dan peniaga mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Katanya ia juga bagi mengelakkan kes seperti di Pasar Ramadan Bukit Rambai yang tular di laman sosial baru-baru ini berulang, yang mana pengunjung bersesak dan gagal mengamalkan penjarakan fizikal.
"Saya telah minta pihak polis untuk meletakkan anggota sekurang-kurangnya dua orang atau bersama askar, kerana mereka juga menjaga sekatan jalan raya (SJR) supaya berada di setiap lokasi untuk memantau keadaan.
"Kita tidak mahu wujudnya kluster-kluster baharu di pasar atau bazar Ramadan ini, yang menyebabkan usaha kerajaan negeri membenarkan aktiviti perniagaan gagal," katanya ketika ditemui pemberita, di Merlimau, di sini, pada Jumaat.
Terdahulu beliau menyempurnakan pelancaran Pasar Ramadan peringkat Daerah Jasin, di Pasar Ramadan Bandar Baharu Merlimau yang turut dihadiri Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar, Datuk Seri Abdul Ghafaar Atan.
Dalam pada itu Sulaiman berpuas hati dengan tahap pematuhan SOP pasar Ramadan di Melaka, terutama jarak di antara satu gerai dengan gerai lain.
"Contohnya di pasar Ramadan di sini, pada tahun sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terdapat kira-kira 100 gerai ditempatkan, namun ia berbeza pada kali ini kerana hanya 60 gerai sahaja dibenarkan.
"Kerajaan negeri telah meminta pihak berkuasa tempatan (PBT), supaya membenarkan mereka yang tidak dapat menyertai pasar Ramadan untuk berniaga di hadapan rumah atau tepi jalan raya, bagi membolehkan mereka mencari rezeki terutamanya selepas terkesan akibat pandemik COVID-19," katanya.
-- BERNAMA
#Ketua Menteri
#SOP
#Ramadan
#Exco
#polis
#kerajaan
#keselamatan
#perintah kawalan pergerakan
#PKP
#COVID-19
#laman sosial
#peniaga
#operasi