Kerajaan negeri perlu keluar arahan henti aktiviti korek pasir Sungai Kelantan

Muhafandi Muhamad
Februari 18, 2021 09:51 MYT
Ahmad Fadhli tidak menolak kemungkinan aktiviti mengorek dan menyedut pasir di dalam sungai menyumbang kepada kejadian tanah runtuh. - Ihsan JBPM
KOTA BHARU: Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari meminta kerajaan negeri mengeluarkan arahan untuk menghentikan aktiviti mengorek pasir di dalam Sungai Kelantan.
Ianya susulan insiden tanah runtuh di Kampung Pohon Celagi, membabitkan keluasan lebih 15,000 kaki persegi dan memusnahkan beberapa buah rumah dan kereta pada Rabu.
Ahmad Fadhli tidak menolak kemungkinan aktiviti mengorek dan menyedut pasir di dalam sungai menyumbang kepada kejadian berkenaan.
“Saya minta supaya kerajaan pusat dan negeri bekerjasama untuk membuat post mortem tetapi buat masa sekarang semua aktiviti menggali dan mengambil pasir sungai ini dapat dihentikan.
“Kita tidak mahu perkara ini berulang kerana kita lihat jajaran melibatkan DUN Chetok sehingga ke Tumpat, kalau aktiviti diteruskan bimbang berlaku runtuhan dalam dua atau tiga hari,” katanya.
BACA: Tanah runtuh Pasir Mas: JPS, JKR diarah lakukan kajian segera - MB
BACA: Lebih 50 penduduk dipindahkan dalam insiden tanah runtuh di Pasir Mas
Ahmad Fadhli berkata tiada tanda rekahan berlaku beberapa hari lalu dan runtuhan dilaporkan berlaku dalam jangka masa singkat dan secara tiba-tiba.
Setakat ini, 43 keluarga membabitkan lebih 250 penghuni di kawasan berhampiran diminta bersiap sedia untuk sebarang kemungkinan.
Empat dari 15 keluarga yang terkesan termasuk dua darinya kehilangan rumah manakala selebihnya tidak selamat untuk mendiami rumah mereka.
#tanah runtuh #keluarga #Sungai Kelantan #Chetok #Tumpat
;