Kerajaan Negeri Perak nafi pengurniaan Darjah Kebesaran

Aida Aziz
Ogos 28, 2020 11:01 MYT
Pentadbiran Kerajaan Negeri Perak menafikan sepenuhnya kandungan surat palsu tersebut.
Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Perak hari ini menegaskan surat yang sedang tular mengenai 'Pengurniaan Darjah Kebesaran dan Pingat Negeri Perak Darul Ridzuan Sempena Hari Keputeraan Yang Ke-63 Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan' adalah palsu.
Menurut Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim, surat palsu itu yang kononnya dikeluarkan Pejabat SUK Negeri Perak telah menggunakan nama Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan) Negeri Perak.
"Surat itu memaklumkan bahawa penerima surat tersebut dikurniakan Darjah Kebesaran Negeri Perak yang membawa gelaran Dato' bersempena Sambutan Ulangtahun Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan.
"Ia dikatakan akan diadakan pada 25 September 2020, bertempat di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar.
"Pentadbiran ini menafikan sepenuhnya kandungan surat tersebut," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Susulan itu, tegasnya, satu laporan polis telah dibuat dan perkara tersebut diserahkan kepada pihak berkuasa untuk siasatan lanjut.
Ahmad Suaidi berkata, pihaknya menyeru mana-mana individu yang telah menerima surat berkenaan agar dapat tampil ke hadapan bagi membuat laporan polis.
#Ahmad Suaidi Abdul Rahim #darjah kebesaran #laporan polis #nafi #palsu #Perak #setiausaha kerajaan negeri #Sultan Perak #surat tular
;