Kerajaan negeri Perak maksimumkan penggunaan data GIS

Bernama
September 4, 2023 04:30 MYT
Saarani berkata sistem itu bukan sahaja akan membantu kerajaan negeri dalam menggubal dasar, tetapi turut merancang pembangunan, membuat keputusan, pemantauan serta penguatkuasaan undang-undang. - Foto BERNAMA
IPOH: Kerajaan negeri akan memaksimumkan penggunaan teknologi Sistem Maklumat Geografi (GIS) dalam membuat sebarang keputusan atau merangka dasar, selaras dengan perkembangan digitalisasi.
Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad berkata sistem itu bukan sahaja akan membantu kerajaan negeri dalam menggubal dasar, tetapi turut merancang pembangunan, membuat keputusan, pemantauan serta penguatkuasaan undang-undang.
"Kita menyahut cabaran untuk membangunkan lebih banyak sistem dan aplikasi berasaskan teknologi GIS untuk membantu merangsangkan lagi pembangunan negeri Perak.
"Saya harap semua agensi akan memanfaatkan penggunaan GIS secara meluas kerana ia akan membawa perubahan dalam aspek pengurusan pentadbiran yang lebih cekap," katanya dalam sidang media selepas merasmikan program Aspirasi Geospatial Negeri Perak 2023 di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan, pada Isnin.
Beliau berkata Unit PerakGIS yang terletak di bawah Unit Perancangan Ekonomi (UPEN) bertanggungjawab mengkoordinasi dan membangunkan pangkalan data geospastial agensi kerajaan negeri.
"Saya sarankan semua agensi memanfaatkan perkhidmatan disediakan PerakGIS dan mengalu-alukan perkongsian data oleh agensi-agensi untuk memantapkan lagi penyediaan pangkalan data geospastial negeri. Kita mahukan koordinasi iaitu koordinasi teknologi ini.
Katanya sistem itu akan diguna pakai dalam pembangunan infrastruktur, pengurusan sumber asli dan alam sekitar, pengurusan tanah serta pengurusan bencana.
-- BERNAMA
#Saarani Mohamad #Unit PerakGIS #data GIS #Sistem Maklumat Geografi
;