Kerajaan negeri pastikan pelaksanaan projek KDVT di Selangor berjalan lancar - Exco

Bernama
Februari 27, 2025 05:30 MYT
Ng berkata jika projek KDVT berjalan lancar, ia dapat meningkatkan jumlah penumpang kepada 15,000 berbanding 10,000 sehari untuk berulang-alik antara Kuala Lumpur dan Klang. - Gambar fail/BERNAMA
KLANG: Selangor akan mengadakan mesyuarat khas bersama pihak berkepentingan bagi memastikan pelaksanaan projek menaik taraf sistem dan infrastruktur Landasan Berkembar Lembah Klang (KDVT) di negeri berkenaan berjalan lancar.
Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti negeri Ng Sze Han berkata langkah itu susulan terdapat beberapa isu yang dibangkitkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) dan kontraktor serta aduan penduduk setempat berhubung projek yang dijangka siap sepenuhnya pada 2029 itu.
"Saya juga telah diberitahu mengenai cabaran dan permasalahan dihadapi kontraktor. Jadi, bagi pihak kerajaan Selangor, saya akan memanggil satu mesyuarat dan cuba mengharmonikan situasi dengan semua agensi yang terlibat.
"Projek infrastruktur ini sangat penting serta memberi manfaat kepada penduduk di Selangor. Jadi, kita akan cuba memudahkan supaya ia jadi lebih lancar, sekali gus dapat diselesaikan secepat mungkin atau mengikut jadual yang ditetapkan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau tapak projek KDVT 2 Sektor Pelabuhan Klang di sini semalam.
Ng berkata jika projek berkenaan berjalan lancar, ia dapat meningkatkan jumlah penumpang kepada 15,000 berbanding 10,000 sehari untuk berulang-alik antara Kuala Lumpur dan Klang.
Fasa pertama KDVT, yang bermula pada 2016 membabitkan naik taraf sistem kerja antara Rawang dan Seremban, dan dari Sentul ke Pelabuhan Klang bagi jarak kira-kira 150 kilometer (km).
KDVT 2 yang bermula awal 2023 membabitkan usaha baik pulih dan naik taraf landasan kereta api KTMB sejauh 265km meliputi kawasan dari Salak Selatan ke Seremban, dan dari Kuala Lumpur ke Pelabuhan Klang.
-- BERNAMA
#Landasan Berkembar Lembah Klang #Ng Sze Han #Kerajaan Negeri Selangor #KDVT #kereta api
;